KUALA BERANG: Sebanyak 447 mangsa dari dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini terpaksa dipindahkan ke PPS lain.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan 'As'ari Omar berkata pemindahan itu melibatkan 146 mangsa dari PPS di Kampung Batu 23 ke Sekolah Kebangsaan Kuala Berang.

Sejumlah 301 mangsa di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunong Menerong pula dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong.

"Pemindahan ini dibuat awal pagi tadi hasil kerjasama semua agensi yang terlibat kerana dua PPS berkenaan telah dinaiki air.

"Setakat ini, hanya dua PPS ini di dalam daerah Hulu Terengganu yang terpaksa ditutup dan dipindahkan mangsanya. Di daerah lain belum lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di bandar Kuala Berang di sini hari ini.

Hassan 'As'ari berkata pemantauan pihaknya juga mendapati paras air di hulu kawasan itu masih lagi tinggi dan arus deras sedang bergerak mengalir ke Kuala Berang atau terus ke Kuala Terengganu.

Untuk rekod, hanya Kuala Terengganu daripada keseluruhan lapan daerah di negeri ini yang belum terjejas banjir gelombang ketiga yang kini mencatatkan bilangan mangsa sebanyak 10,283 orang setakat 2 petang tadi.

Selain itu, beliau berkata trend paras air di sungai utama di daerah Besut dan Setiu kini semakin menurun, manakala di Kemaman melihatkan peningkatan paras air susulan aliran air yang agak deras dari kawasan hulu.

"Justeru, saya nasihati mereka yang tinggal di kawasan rendah atau yang memang dah ada pengalaman berdepan banjir sebelum ini untuk terus berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah ke PPS," katanya.

-- BERNAMA