Dua buah rumah banglo warisan yang terletak di Lebuh Raya Peel berkemungkinan bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel dan hospital swasta, dakwa Penang Citizen Awareness Chant Group, pada Khamis.

Penasihatnya Yan Lee berkata walaupun tiada sebarang makluman mengenai perobohan bangunan warisan kategori dua itu, pihaknya mendapati Pelan Kebenaran Merancang telah dibuat pemaju melibatkan kawasan berkenaan.

Yan Lee berkata pihaknya percaya perobohan itu untuk cadangan pembinaan 400 bilik hotel dan 380 unit Medical Suite Island Hospital.

Menurutnya, permohonan merobohkan bangunan dan struktur untuk pembinaan hospital 12 tingkat, tempat letak kereta berlapis dan laluan bawah tanah di atas kawasan berkeluasan lebih tiga hektar itu telah dihantar kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Julai lalu.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan negeri melaksanakan kajian penilaian impak bangunan warisan dengan melibatkan rundingan awam daripada rakyat di negeri itu sebelum meluluskan cadangan pembinaan projek tersebut.

“Pihak kami sekali lagi akan membentangkan perkara ini secara terbuka kepada orang awam memandangkan projek ini berkaitan dengan tanah rakyat itu sendiri”, nyata Yan Lee.

Dalam soal ini, Yan Lee berkata seharusnya satu kajian sosial dilakukan sebelum projek berkenaan diluluskan termasuk kajian trafik dan sebagainya.

Pada masa sama, pihaknya berharap Kementerian Kesihatan tidak sewenang-wenangnya meluluskan projek berkenaan kerana Island Hospital telah lama beroperasi dan memberikan perkhidmatan kesihatan.

Dalam pada itu, Yan Lee turut mempersoalkan tujuan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan tersebut walaupun dilihat terpaksa menggadaikan bangunan warisan dan tanah rakyat.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengesahkan bahawa Lebuh Raya Peel diberikan pajakan jangka panjang dengan nilai RM156 juta dan perjanjian dengan Island Hospital untuk projek pembangunan itu dibuat menerusi projek terbuka sebelum ramai pihak mempertikaikannya.