Dua sahabat maut akibat dihempap pokok dalam kejadian hujan ribut di Bukit Layat, sempadan daerah Setiu dan Kuala Terengganu dekat sini, hari ini.

Khairullah Samad, 22, dari Kampung Bukit Layat dan rakannya, Mohd. Zuki Ismail, 39, dari Kampung Bintang dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 8 malam semalam untuk mencari kayu bersama beberapa rakannya.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai dihempap pokok ketika mereka sedang berehat di dalam khemah.

Sehingga pukul 9 malam ini, mayat kedua-dua mangsa masih belum dapat dikeluarkan dari tempat kejadian kerana kedudukan bukit berkenaan jauh ke dalam hutan dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke lokasi kejadian.

Dalam pada itu, abang kepada Khairullah, Mahassan Samad, 59, berkata adiknya dipercayai memasuki bukit tersebut semalam bersama beberapa rakan yang berpecah kepada beberapa kumpulan.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Khairullah setelah diberitahu oleh seorang anaknya kira-kira pukul 3 petang tadi ketika beristirehat di rumahnya di Kampung Bukit Layat.

"Kali terakhir saya menemuinya lebih sebulan lalu, tapi hari ini saya dapat tahu yang dia sudah meninggal dunia akibat ditimpa pokok di Bukit Layat," katanya ketika ditemui, dilokasi kejadian, hari ini.

Mahassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi berdasarkan maklumat daripada rakan sekerja mangsa yang menyedari kejadian itu kira-kira pukul 9.00.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Sufian Sulaiman mengesahkan kejadian itu.

Katanya pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 5.15 petang tadi dan usaha mengeluarkan mayat mangsa sedang giat dijalankan. -- Bernama