BALING: Dua sekolah di daerah Baling diarah tutup ekoran kemunculan kluster pandemik COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad, dua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan, Kuala Ketil dan Maktab Mahmud Baling.

Katanya, 11 kes positif membabitkan Kluster Jalan Weng yang dilaporkan selepas saringan pelajar di Maktab Mahmud Baling dilakukan.

"Sejumlah 243 individu disaring di mana 11 kes dikesan positif kluster itu.

"243 pelajar dikurantin di asrama maktab itu sejak Sabtu lalu sehingga 25 April depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmi berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan ditutup bermula hari ini sehingga 24 April depan.

Katanya, dalam pekeliling Jabatan Pendidikan, semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana dikehendaki menjalani proses kuarantin di rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihak berkuasa.

"Keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

"Manakala guru- guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bekerja dari rumah (BDR) bagi melaksanakan pengajaran dan pelajaran berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh sekolah tidak beroperasi," katanya.

Beliau mencadangkan dalam tempoh bercuti sekolah ditutup, ibu bapa boleh membantu murid dengan belajar melalui kaedah dalam talian sepenuhnya," katanya.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menggariskan beberapa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) kepada murid ketika berada di rumah berikutan Covid-19," katanya.