Skip to main content

Malaysia

Dua wanita rugi RM1.4 juta ditipu sindiket panggilan telefon

41734339236_ScamDuit.jpg
Suspek memaklumkan wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram dan penjualan kad ATM. - Gambar hiasan

KUANTAN: Dua wanita kerugian RM1.4 juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon dari September 2024 hingga April lepas. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes pertama melibatkan pesara guru berusia 60 tahun di Kuantan yang menerima panggilan pada 6 Sept 2024 daripada suspek menyamar sebagai pegawai polis. 

Advertisement

“Suspek memaklumkan wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram dan penjualan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada penjenayah. Mangsa diarahkan membuat akaun sumpah, laporan polis melalui panggilan telefon dan merakam suara sebagai pengakuan.

“Mangsa diugut akan ditangkap dan direman atau menyerahkan semua harta milik menyebabkan dia melakukan 122 transaksi pemindahan wang bernilai RM1.014 juta ke beberapa akaun bank dari 6 Sept 2024 hingga 5 April,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yahaya berkata mangsa berbuat demikian menggunakan wang simpanan, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil penjualan rumah dan pelaburan, wang persaraan, gadaian barang kemas serta pinjaman peribadi. 

Kes kedua melibatkan guru berusia 42 tahun di Raub kerugian RM431,000 selepas diperdaya sindiket menyamar sebagai pegawai syarikat takaful dan pegawai polis pada 2 Feb memaklumkan dirinya terlibat kes tuntutan insurans palsu RM68,000 serta pengubahan wang haram dan rasuah.

“Mangsa diarahkan mengisytiharkan akaun bank dan menukar nombor telefon bagi tujuan perbankan internet sebelum membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank di bawah kawalan suspek, atas alasan bagi tujuan pengurusan kes serta bayaran jaminan mahkamah,” katanya.

Yahaya menasihatkan orang ramai segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan jika menerima panggilan meragukan serta menyemak nombor akaun diterima melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video