Skip to main content

Malaysia

Dua wanita warga emas rugi lebih RM70,000 ditipu sindiket gores dan menang

41718614275_scam.jpg
Dua wanita warga emas kerugian kira-kira RM77,600 setelah terpedaya dengan sindiket penipuan gores dan menang dalam dua kejadian di Ipoh dan Taiping.
Advertisement

IPOH: Dua wanita warga emas kerugian kira-kira RM77,600 setelah terpedaya dengan sindiket penipuan gores dan menang dalam dua kejadian di Ipoh dan Taiping.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kedua-dua mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci.

"Dalam kejadian pertama, mangsa didatangi dua lelaki dan seorang wanita memaklumkan mahu memberi hadiah menerusi cabutan bertuah di sebuah pasar raya pada 3 Okt tahun lepas.

"Mangsa seterusnya dibawa masuk ke dalam kenderaan dinaiki suspek dan diminta untuk memusing roda cabutan bertuah sebelum mendakwa mangsa memenangi jongkong emas seberat 150 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Isnin.

Mohd Alwi berkata bagi memperoleh jongkong emas tersebut, mangsa menyerahkan subang, rantai leher dan cincin emas yang dipakai termasuk nombor pin dan kad ATM kononnya akan memperoleh hadiah wang tunai.

"Suspek berjanji akan menghubungi mangsa untuk menyerahkan jongkong emas namun gagal dihubungi dan mangsa mendapati wang daripada akaun banknya telah dikeluarkan sebanyak RM600.

“Jumlah kerugian keseluruhan yang dialami mangsa ialah kira-kira RM18,600,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Alwi berkata suspek sama menghubungi seorang lagi mangsa dan memaklumkan memenangi hadiah cabutan bertuah berupa hamper pada 14 Jun lepas.

Beliau berkata mangsa diarahkan datang ke Stesen Bas Taiping bagi mengambil hadiah tersebut dan turut diminta untuk menekan roda cabutan bertuah di dalam tablet.

"Mangsa dikatakan memenangi hadiah jongkong emas seberat 100 gram dan telah menerima hadiah itu tanpa menyedari ia jongkong emas palsu," katanya sambil menambah mangsa turut menyerahkan barang kemas dan mengalami kerugian kira-kira RM59,000.

Mohd Alwi berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan lima suspek berusia 22 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan dalam serbuan berasingan di Melaka dan Selangor pada 19 Jun lepas.

Beliau berkata pihaknya turut merampas beberapa barangan antaranya sembilan unit telefon bimbit, satu unit tablet dan 16 keping baucar cabutan bertuah dianggarkan bernilai RM10,000.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement