Insiden dua warga Jerman yang dilaporkan diculik hari ini tidak berlaku di Sabah.

Demikian kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis yang menafikan laporan yang ia berlaku di perairan negara.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa perkara ini bukan berlaku di Sabah. Saya hanya tahu bahawa ia berlaku di perairan negara jiran,” kata Hamza ketika dihubungi Astro AWANI.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan penculikan tersebut dikatakan ada kaitan dengan kumpulan bersenjata Abu Sayyaf seperti yang dilapor oleh beberapa portal berita tempatan hari ini.

"Saya dengar ia melibatkan dua rakyat Jerman. Selain daripada fakta ini, saya tidak boleh sahkan apa-apa," tambahnya

Dua rakyat Jerman tersebut didapati hilang daripada kapal layar milik mereka ketika berlayar di perairan selatatan Filipina berdekatan perairan Palawan.

Dr Stefan Viktor Okonek, 72, dan Henrite Dielen, 42, yang dikatakan sedang menjelajah pulau-pulau sekitar perairan Mindanao dilaporkan hilang berdekatan perairan Palawan yang bersempadan dengan Kudat yang terletak di utara Sabah.

Beberapa laporan awal mengatakan mereka disyaki diculik oleh kumpulan pelampau Abu Sayyaf untuk dibawa ke Jolo Pulau Pinang.