Akta COVID-19 baharu yang bakal diwartakan oleh kerajaan sebaik ia dibentang dan diluluskan di Parlimen dijangka menyelesaikan beberapa isu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk melibatkan kes penangguhan majlis perkahwinan di mana bakal pengantin tidak mendapat wang pendahuluan mereka.

"Insya-Allah akta tersebut tersebut akan dibentangkan di dalam Parlimen akan datang dan jika kita dapat kelulusan, dan diwartakan, kita akan laksanakan akta tersebut. Isu-isu berkaitan seperti yang disebutkan tadi (wang pendahuluan tidak dipulangkan) akan dapat kita selesaikan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu di mana pelanggan tidak dibenarkan mendapatkan semula wang pendahuluan mereka.

Ia susulan kerajaan masih tidak membenarkan majlis perkahwinan diadakan dalam perhimpunan yang ramai, sekali gus menyebabkan tempahan majlis terpaksa dibatalkan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) sebagai komitmen bagi mengurangkan impak perundangan COVID-19.

Rang Undang-Undang itu dijangka dibentangkan pada sesi parlimen Julai ini.