Empat kanak-kanak maut, tiga cedera dalam perlanggaran lori-trisikal di Filipina

Empat kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera dalam satu perlanggaran melibatkan sebuah lori treler dan sebuah trisikal di Wilayah Isabela, utara Filipina. - Gambar fail
MANILA: Empat kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera dalam satu perlanggaran melibatkan sebuah lori treler dan sebuah trisikal di Wilayah Isabela, utara Filipina, lapor Xinhua memetik kenyataan polis pada Ahad.
Menurut polis, nahas berlaku pada petang Jumaat di Bandaraya Santiago selepas sebuah trisikal yang dipandu oleh remaja berusia 17 tahun dan membawa enam kanak-kanak, didakwa membelok ke kiri secara tiba-tiba sebelum dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.
Kesemua mangsa - empat beradik dan tiga sepupu mereka - dikejarkan ke hospital tempatan, namun empat daripadanya disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, kata polis. Tiga lagi mangsa yang cedera sedang menerima rawatan.
Siasatan awal polis menunjukkan trisikal berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah sekolah rendah semasa kemalangan itu berlaku.
Pemandu lori terbabit kini ditahan polis bagi membantu siasatan untuk menentukan kebertanggungjawaban dalam insiden berkenaan.
Trisikal merupakan kenderaan bermotor beroda tiga di Filipina yang sering digunakan sebagai pengangkutan awam jarak dekat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


