HIBURAN
Dulu 'jamming' sebelah reban ayam, kini bakal kongsi pentas dengan XPDC

Kumpulan XPDC dijangka menyampaikan lebih buah lagu pada konsert sempena ulang tahun ke 30 kumpulan itu. - Foto Astro AWANI
KATA orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Itu perumpamaan yang paling sesuai ditujukan kepada kumpulan Padang Jambu yang satu ketika dahulu hanya bermain muzik menggunakan barangan terpakai di tepi reban ayam.
Kesungguhan mereka biarpun serba kekurangan itu mendapat perhatian kumpulan rock terkenal tanah air XPDC yang menjemput mereka untuk jamming bersama.
Band kampung yang merupakan peminat tegar kumpulan XPDC diundang sebagai kugiran jemputan pada konsert yang bakal diadakan pada 9 Februari ini.
Menurut pengurusnya Bro Yazid, perbincangan telah diadakan dan mereka bersetuju untuk menjemput kumpulan anak muda dari Dungun, Terengganu itu untuk berkongsi pentas pada hari tersebut.
"Pada hari tersebut, kita persilakan mereka ini untuk memainkan dua atau tiga buah lagu sebagai acara selingan di antas pentas.
"Kita juga akan memperkenalkan mereka kepada peminat yang hadir pada hari itu,” kata Yazid ketika ditemui pada sidang media sempena konsert metal Unmetal yang akan diadakan di restoran D’Saji di sini pada 9 Februari ini.
Menurut pemain dram XPDC, Amy, kumpulan itu wajar diberi penghargaan memandangkan daya usaha dan minat yang ditunjukkan terhadap lagu-lagu XPDC.
“XPDC tidak pernah meminggirkan peminat dari dulu sampai sekarang. Saya rasa jemputan ini adalah lahir daripada keikhlasan kumpulan ini terhadap peminat. Mereka ini dulu bermain dalam serba kekurangan namun masih mampu menterjemahkan minat muzik mereka dengan lagu-lagu XPDC dan heavy metal.
"Saya juga harap mereka dapat hadir beberapa hari awal supaya kita boleh bersuai kenal dengan anak muda ini," katanya.
Sementara itu, wakil Band Padang Jambu yang dihubungi Astro AWANI bersetuju dan menyatakan keterujaan mereka untuk bertemu dengan anggota XPDC yang menjadi idola mereka selama ini.
Malah mereka tidak menyangka sama sekali kesudian XPDC untuk mengundang mereka ke konsert tersebut walaupun mereka hanyalah sebuah band kampung.
Konsert XPDC “Metal Live &Un-Metal” diadakan sempena ulang tahun ke-30 kumpulan itu dalam industri muzik tanah air.
XPDC yang dibarisi oleh Mael, Jeff, Zua dan Amy dijangka mempersembahkan lebih 20 lagu pada konsert tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami