Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak berlagak menjadi wira dalam mengkritik pentabiran kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Guan Eng berkata amat menghairankan apabila Najib sebelum ini tidak pernah merungut ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Beliau turut menyindir Najib dengan mengatakan bekas Menteri Kewangan itu baharu sedar bahawa pelaksanaan GST sebelum ini telah membebankan rakyat.

"Saya amat hairan dengan beliau. Masa dia kenakan GST, tidak pula dia merungut. Sekarang bila kerajaan kenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dia merungut pula. Sedangkan SST pun enam peratus. Sama seperti GST.

BACA: 'Najib jangan buat-buat terkejut, dulu pun dah kena GST' - Netizen

"Cuma yang membezakan SST dengan GST, ia memberi kelonggaran kepada peniaga kecil. Yang mana nilai ambang dalam setahun kurang dari RM1.5 juta, tak kena SST. Bukan macam GST dulu, semua sapu rata. Orang tidak bergaji pun kena bayar GST.

"Siapa pun tidak akan terlepas (untuk bayar GST). SST banyak kelonggaran berbanding GST. Makanan dan minuman (tidak termasuk rokok) sahaja dikenakan. Sewa warung kecil pun tidak dikenakan SST," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, ketika pelaksanaan GST oleh kerajaan pimpinan Najib, keadaan jauh lebih teruk berbanding pada waktu ini.

"Inilah yang dinamakan hipokrasi dan penipuan ekonomi. Dengan apa yang beliau suarakan ini, ia menunjukkan bahawa Najib masih menyokong dan akan kembalikan GST.

"Itu lah BN. Sebab itu mereka ditolak dalam PRK Balakong kerana rakyat tidak mahu GST, rakyat tahu impak GST," katanya.

Semalam, Najib dalam catatan di akaun Twitter miliknya berkata, SST dikenakan ketika beliau membeli kuih tersebut di sebuah restoran terkenal di Tanjung Malim, Perak.

BACA: Pau pun kena SST!

“Berhenti di kedai Pau Yik Mun, Tg (Tanjung) Malim untuk membeli pau. Jelas SST dikenakan walaupun kedai ini sederhana kecil!

“Kedai pau pun kena SST,” tulis beliau dalam ciapan itu.