Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: K'jaan tanggung subsidi RM4 bilion sebulan, ikhtiar pelbagaikan sumber minyak dan gas - PM

Anwar Ibrahim 6
Kerajaan mempergiat usaha menjamin bekalan tenaga negara termasuk pelbagaikan import minyak dan gas, dengan perbelanjaan RM4 bilion sebulan serap impak krisis global.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempergiatkan usaha menjamin bekalan tenaga negara, yang dilihat agak kritikal, termasuk mengambil langkah mempelbagaikan sumber tenaga import minyak dan gas dari negara lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebenarnya memasuki fasa dalam keadaan ekonomi yang relatif lebih stabil, dan dapat bertahan dengan RON95 umpamanya masih kekal RM1.99.

Advertisement

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, situasi itu sebenarnya mengejutkan pihak tertentu kerana negara-negara serantau menanggung kos dan harga minyak yang tinggi, hingga memaksa mereka membuat catuan terhadap bekalan tenaga masing-masing.

Biarpun keadaan agak melegakan untuk Malaysia, Anwar berkata, Kerajaan sama sekali tidak akan merasa selesa dan alpa, kerana sikap sedemikian dikhuatiri akan mengundang masalah yang lebih berat.

“Kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan memilih tokoh-tokoh yang sangat berwibawa membantu Kerajaan dalam bidang ini. 

"Kita telah mengadakan beberapa program khas baik Jemaah Menteri, Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas supaya penggunaan bahan api itu terkawal, bekalan tenaga terjamin.

“Kita ucap terima kasih kerana perancangan PETRONAS dapat membantu kita kerana menyediakan minyak, gas yang mencukupi sekurang-kurang melangkau sehingga bulan Mei dan ini sangat membantu rakyat dan negara,” katanya katanya dalam dalam taklimat khas yang disiarkan pada Rabu.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM4 bilion sebulan bagi menyerap impak kenaikan harga minyak susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Menurut beliau, jumlah perbelanjaan itu bukan kecil dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, namun mengakui keupayaan fiskal negara adalah terhad jika krisis berlarutan.

“Ini bukan perkara kecil. Kerajaan membantu rakyat dengan tambahan RM4 bilion sebulan untuk menahan impak kenaikan minyak, tetapi tentu keupayaan itu terbatas,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan terbuka menerima cadangan daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, nelayan dan pekerja bagi menambah baik langkah penampan yang sedang dilaksanakan.

Beliau menjelaskan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama jawatankuasa berkaitan Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat hampir setiap hari, manakala beliau sendiri akan memanggil wakil kontraktor kecil, nelayan dan petani untuk mendengar keluhan serta mencari penyelesaian yang mampu dilaksanakan.

Kerajaan, katanya, akan terus menampung dan membantu rakyat setakat kemampuan dalam mendepani kesan krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan.

 

Must Watch Video