KUCHING : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 selepas bacaan kali ketiga semasa Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 pada Rabu.

Usul itu pada mulanya dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali untuk bacaan kali pertama dan kedua.

Pembentangan itu dibahaskan lebih 17 anggota dewan dari blok kerajaan dan pembangkang.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar selepas mengambil kira jumlah sokongan dari semua anggota dewan.

Ketika sesi bacaan ketiga, Sharifah Hasidah menegaskan pindaan ini dilakukan untuk memanfaatkan rakyat Sarawak dengan menambah sumber pendapatan negeri sekali gus mengambil pendekatan dasar mesra alam sekitar.

“Dua hasrat kerajaan negeri berhubung penyimpanan karbon adalah untuk menjana pendapatan dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Untuk makluman, pindaan tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengawal selia penggunaan tanah bagi simpanan karbon yang akan mengurangkan pelepasannya oleh syarikat minyak dan gas.

"Jadi dalam proses itu, simpanan karbon dioksida akan disimpan sama ada di kawasan yang diluluskan oleh pihak berkuasa perancang negeri atau untuk digunakan industri seperti pengeluaran hidrogen biru, ammonia biru atau biofuel.

“Justeru, penyimpanan karbon boleh menambah sumber pendapatan kepada negeri dan membolehkan penjanaan unit kredit karbon, maka tiada konflik di sini,” tegasnya semasa menjawab persoalan ADUN Padungan.

Manakala, mengenai isu spektrum pula, pindaan itu bertujuan untuk membolehkan negeri melaksanakan hak kawal selia ke atas penggunaan spektrum di atas ruang udara di atas tanah di Sarawak.

“Ini adalah bertujuan untuk mengawal spektrum dan tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin mengulangi bahawa hasrat kerajaan negeri adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan meluaskan perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan luar bandar supaya penduduk luar bandar tidak ketinggalan apabila negeri meneruskan rancangannya untuk ekonomi digital,” tambahnya lagi.