Skip to main content

Malaysia

Malaysia kongsi pendekatan perumahan awam berteraskan komuniti di Forum Bandar Sedunia

 Nga Kor Ming, Think City. Kredit: Think City
Kor Ming (kanan) melancarkan penerbitan From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia's Public Housing pada Isnin sempena sesi ke-13 Forum Bandar Sedunia (WUF13). -Foto Think City

BAKU: Pendekatan kepimpinan komuniti dan penyertaan penduduk dikenal pasti sebagai antara faktor utama dalam memastikan kelestarian perumahan awam di Malaysia.

Perkara itu diketengahkan dalam penerbitan terbaharu Think City bertajuk "From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia's Public Housing", yang dilancarkan sempena Forum Bandar Sedunia (WUF13) di Baku, Azerbaijan pada Isnin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata penemuan utama dalam penerbitan itu menunjukkan keperluan peralihan penting dalam pembangunan perumahan awam negara supaya kekal berdaya huni, inklusif dan mampan untuk generasi akan datang.

Beliau menjelaskan perumahan awam tidak boleh dilihat sekadar sebagai struktur binaan, sebaliknya perlu dianggap sebagai ekosistem sosial yang dibentuk oleh penduduk, ruang bersama, tadbir urus dan sistem pengurusan komuniti.

"Perumahan awam Malaysia perlu terus berkembang mengikut keperluan rakyat dan bandar kita.

"Rumah, kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik mesti disertai dengan infrastruktur sosial yang terdiri daripada komuniti yang kukuh, sistem yang peka kepada keperluan rakyat dan tanggungjawab bersama.

"Inilah yang membolehkan penambahbaikan fizikal memberi impak yang berkekalan kepada kemapanan, kesejahteraan dan kehidupan komuniti," katanya dalam kenyataan selepas melancarkan penerbitan berkenaan pada sesi ke-13 WUF13.

Kor Ming yang juga Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA) menambah Malaysia menyokong sepenuhnya proses penyertaan komuniti sebagai asas kepada pembangunan bandar mampan.

Sementara itu, Think City dalam kenyataan sama berkata, penerbitan tersebut turut mengetengahkan pengalaman Malaysia dalam pembangunan perumahan awam ketika banyak negara di seluruh dunia sedang mencari pendekatan lebih menyeluruh terhadap pembangunan bandar mampan.

Berdasarkan penilaian sosial melibatkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam di Lembah Klang, kajian itu meneliti cabaran berkaitan daya huni, keselamatan, pengurusan, perpaduan sosial dan peningkatan taraf hidup penduduk.

Think City memaklumkan perumahan awam memainkan peranan penting dalam pembangunan bandar di Malaysia, khususnya apabila kadar urbanisasi negara meningkat daripada kurang 30 peratus pada 1970 kepada lebih 75 peratus ketika ini.

Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata pengalaman menerusi program Kita-Untuk-Kita (K2K) juga membuktikan penduduk mampu menjadi agen perubahan aktif apabila diberikan sistem sokongan yang sesuai.

"Perumahan awam pada asasnya adalah tentang manusia, maruah dan peluang. Ketika bandar-bandar di seluruh dunia menilai semula makna berdaya huni dan mampan, pengalaman Malaysia membuktikan bahawa transformasi bandar yang berkekalan tidak cukup dengan pembangunan fizikal sahaja.

"Ia perlu disokong oleh komuniti yang diperkasa dengan rasa tanggungjawab bersama terhadap tempat yang mereka diami," katanya.

Program K2K yang dibiayai Kementerian Kewangan dilancarkan pada 2023 bagi memperkukuh penyertaan penduduk dan pengurusan kejiranan di kawasan perumahan awam di Lembah Klang.

Sehingga kini, program itu telah menjangkau lebih 30,000 penduduk di 10 kawasan menerusi platform Forum Komuniti (FORKOM), menggerakkan 32 organisasi berasaskan komuniti serta menyokong lebih 50 projek geran komuniti.

 

Must Watch Video