KUCHING: Sebanyak 11 cadangan tindakan dikenal pasti bagi menangani isu banjir puing di kawasan Empangan Baleh, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ia dibahagikan kepada pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang termasuk keperluan penyediaan Biomass Removal Plan (BRP).

“Sebuah firma juru perunding telah dilantik bagi menyediakan BRP di kawasan Empangan Baleh. BRP tersebut telah diluluskan pada 27 Jun 2022.

“Kerajaan akan meneliti secara mendalam berhubung dengan rekomendasi BRP tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Khamis.

Bagaimanapun Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu berkata buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk menarik balik larangan operasi pembalakan di kawasan berkenaan.

Menurut Awang Tengah, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, NREB, SRB, Jabatan Tanah dan Survei, Residen Bahagian Kapit, SEB, dan STIDC.

Ia bagi menangani isu banjir puing (floating debris) tersebut termasuklah menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian.

Sementara itu, kerajaan Sarawak telah meluluskan Fasa 2 Projek Tukun Tiruan dengan kos berjumlah RM30 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2023.

Ia susulan kejayaan fasa pertama program tersebut yang telah siap dilaksanakan pada 19 September tahun ini.

Untuk rekod fasa pertama projek berkenaan melibatkan sejumlah 16,800 tukun tiruan telah dilabuhkan.