MALAYSIA
DUN Selangor lulus pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam

RUU yang melibatkan pindaan kepada 10 fasal itu disokong sebulat suara selepas bacaan kali ketiga dan dibahaskan hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ringkasan AI
- DUN Selangor meluluskan pindaan melibatkan 10 fasal yang memperkukuh peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pelantikan anggota MAIS, Jawatankuasa Fatwa, Tauliah dan Rayuan Tauliah.
- Tafsiran rasmi Ahli Sunnah Wal Jamaah akan dimasukkan ke dalam Enakmen No. 1/2003, dengan saringan lebih ketat bagi mengelakkan pelantikan individu berfahaman ekstrem, liberal atau menyeleweng.
- Pindaan ini turut menjunjung titah Sultan Selangor agar kedudukan dan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah diperjelas demi menjaga kesucian pentadbiran Islam negeri.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika membentangkan RUU itu berkata dengan pindaan berkenaan, tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dicadangkan untuk dimasukkan sebagai tafsiran baharu dalam Enakmen No. 1/2003.
Beliau berkata dalam proses mewujudkan Rang Undang-Undang 2025 itu, MAIS telah melaksanakan sesi libat urus dengan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk pengamal undang-undang dan jabatan atau organisasi yang berkaitan.
"Antara pihak terlibat dalam pindaan ialah Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, ahli akademik dan lain-lain yang berkaitan," katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata pindaan itu juga dapat mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal, atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.
"Ia bagi memastikan pentadbiran Islam Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama," katanya.
Beliau berkata RUU itu juga sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Mac lepas yang menitahkan Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin supaya pindaan dilakukan dengan segera bagi memasukkan peruntukan berhubung kedudukan dan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada masyarakat Islam, terutamanya di Selangor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami