KUALA LUMPUR: Sempena meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan Kedutaan Austria di Malaysia tahun ini, dutanya Andreas Launer berharap persahabatan antara kedua-dua negara dapat dipertingkat sepanjang tempoh perkhidmatannya di sini.

Diplomat itu yang juga Ketua Perwakilan Austria ke Brunei sejak 2021 berkata hubungan Malaysia-Austria telah berkembang dengan baik sejak hubungan dua hala terjalin pada 1962, terutama dari segi ekonomi.

Beliau berkata kedua-dua negara juga telah bekerjasama secara multilateral seperti dalam bidang politik keselamatan antarabangsa.

"Ada banyak peluang untuk berkembang bersama dan untuk peluasan bersama di rantau Asia Tenggara dengan bantuan kepakaran Malaysia," katanya kepada Bernama di Persidangan Antarabangsa (S.I.C. 2023) di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini pada Selasa.

Launer berkata Austria mengalu-alukan pelaburan baharu daripada syarikat Malaysia khususnya dalam sektor inovatif seperti teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara telah membina perkongsian teknologi dalam sektor tersebut, beliau berkata pelaburan Malaysia di negaranya masih kecil.

"Baru beberapa bulan lepas saya telah menjemput Ketua Pegawai Eksekutif agensi perniagaan Vienna untuk datang ke sini dan berbincang dengan perniagaan di Malaysia tentang peluang untuk membuat perniagaan dan melabur di Austria," katanya.

Mengenai S.I.C 2023, Launer menekankan kepentingan kerjasama pelbagai hala dalam memerangi ekstremisme ganas dalam alam digital kerana ia terus menjadi ancaman serius di seluruh dunia.

"Bagi kerajaan saya, ini semestinya keutamaan politik kami. Di Austria dan seluruh Kesatuan Eropah kami cuba berjuang bersama melalui kerjasama dalam memerangi semua bentuk ekstremisme dan menjauhkan bahaya daripada demokrasi kita," katanya.

Bertemakan "Building Digital Resilience in Preventing and Countering Violent Extremism," persidangan tiga hari yang bermula Selasa itu diadakan sempena memperingati ulang tahun ke-20 SEARCCT.

Penganjurannya bermatlamat untuk membincangkan cabaran dan isu berkaitan ekstremisme ganas, terutama dalam ruang digital serta cara untuk bertindak balas dengan lebih baik terhadap cabaran ini dalam konteks membina daya tahan digital masyarakat melalui pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik.

-- BERNAMA