SERDANG: Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini mengiktiraf 167 jurusuntik permanian beradas di seluruh negara sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka dalam memperkukuh perkhidmatan pembiakbakaan ternakan di peringkat lapangan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata pengiktirafan bagi tempoh 2024 hingga 2026 itu merangkumi beberapa kategori termasuk Anugerah Tangan Emas kepada juruteknik permanian beradas DVS dan jurusuntik permanian beradas persendirian.
Beliau berkata penilaian anugerah turut mengambil kira pencapaian perkhidmatan itu termasuk jumlah ternakan yang menerimanya, jumlah kelahiran serta ternakan bunting hasil permanian beradas.
“Penganugerahan ini menjadi platform penting untuk menghargai komitmen tinggi para jurusuntik permanian beradas yang merupakan wira barisan hadapan dalam menjayakan transformasi genetik ternakan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan kepada Jurusuntik Permanian Beradas dan Penternak di sini.
Majlis itu, yang berlangsung di Laman Veterinar, MAEPS Serdang, turut menyaksikan pelancaran Artificial Insemination Management System (AIMS) yang dibangunkan DVS bagi memperkemas pengurusan perkhidmatan permanian beradas secara bersepadu dan masa nyata.
AIMS merangkumi pengurusan data premis dan ternakan, inventori stok semen beku, rekod prosedur permanian beradas serta maklumat pemeriksaan kebuntingan dan kelahiran anak ternakan.
Mohd Noor Hisham berkata penggunaan sistem itu bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi di lapangan malah membantu memperkukuh integriti data kebangsaan berkaitan pembiakbakaan ternakan.
“Data yang lebih tepat dan bersepadu penting bagi menyokong perancangan dasar, pembangunan baka ternakan berprestasi tinggi serta usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Majlis turut memperkenal Anugerah Transformasi Digital AIMS 2026 dan Anugerah Perdana Aplikasi Teknologi Pembiakan 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkasakan penggunaan teknologi dalam industri pembiakan ternakan.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak serta turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi DVS.
-- BERNAMA