Inisiatif e-Kitchen anjuran Kerajaan Selangor sepanjang bulan Ramadan, dilihat memberi peluang kepada penjaja dan peniaga untuk terus mendapatkan hasil jualan dalam keadaan normal baharu, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain itu, beliau berpandangan, program itu bersifat proaktif dan dijangka dapat membantu mengurangkan pembaziran dari segi lebihan makanan.

“Kebiasaan baharu yang diterapkan ini bukan saja akan menjimatkan masa, ruang dan keadaan, tapi juga dapat menjimatkan makanan yang dihasilkan, tidak berlaku lebihan sebagaimana yang berlaku.

“Malah lebih proaktif, kerana kalau dahulu penjaja agak mempertaruhkan nasib mereka, kalau hari hujan, kadang-kadang hampir zero jualan mereka. Tapi tempahan awal ini akan memberi ruang kepada penjaja untuk membuat anggaran lebih tepat terhadap jumlah jualan,” katanya lagi.

Amirudin berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI untuk memperincikan mengenai inisiatif e-Kitchen itu.

Program e-Kitchen diwujudkan ekoran larangan di peringkat negeri Selangor dan Persekutuan terhadap sebarang jenis bazar Ramadan bagi mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, e-Kitchen akan diuruskan bersama oleh Menteri Besar Selangor Inc dan Hijrah Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti 77 pusat pengedaran di seluruh negeri, merangkumi 10 Dewan PBT, dengan jumlah maksima penjaja dan peniaga di satu pusat itu adalah seramai 12 orang.

Selain itu, 67 restoran di Selangor juga turut mendapat kelulusan untuk menjadi pusat pengedaran makanan.

Namun, Amirudin berkata, tiada sebarang aktiviti memasak dibenarkan di pusat pengedaran itu, sebaliknya makanan yang akan diletakkan di situ sudah siap dimasak berdasarkan jumlah tempahan, dan akan dihantar kepada pelanggan melalui syarikat yang berdaftar sebagai penghantar makanan.

“Bagi tempahan, kita juga wujudkan dua platform, satu adalah kerjasama dengan Grab melalui aplikasi mereka, dan satu lagi Platform Selangor atau PLATS (www.plats.com.my). Melalui PLATS, kita adakan kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Mrspeedy, Zepto, matdespatch dan BUNGKUSIT,” katanya lagi.