Kerajaan negeri Perak menerima sebanyak 200 permohonan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang ingin mendapatkan dana menerusi e-sistem yang telah diaktifkan semula sebulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Razman Zakaria berkata e-sistem diwujudkan khusus untuk NGO memohon peruntukan bagi memulakan atau mengembangkan pelbagai aktiviti atau program di bawah pertubuhan masing-masing.

Beliau berkata e-sistem dihentikan seketika apabila berlaku peralihan pentadbiran kerajaan negeri pada Mac lepas dan diaktifkan semula sebulan lepas.

"Dengan adanya e-sistem ini, ia dapat memudahkan Pejabat Kewangan Negeri Perak menyalurkan dana kepada NGO yang berkelayakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kursus Tadbir Urus NGO Siri 1 dan e-sistem NGO di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Razman berkata pihaknya berharap pihak NGO yang menerima peruntukan tersebut menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Katanya peruntukan kerajaan negeri untuk NGO turut disalurkan menerusi setiap Exco.

-- BERNAMA