Melaka tidak keluar kenyataan teliti semula had lanjutan operasi premis urut, hiburan hingga 2 pagi

Rais berkata, laporan berkenaan tidak tepat dan mengelirukan masyarakat, sehingga menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat di dalam dan luar negeri itu. - Foto fail
MELAKA: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan cadangan untuk meneliti semula had lanjutan operasi rumah urut, pusat hiburan dan sukan di Melaka hingga pukul 2 pagi seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, pada Rabu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata laporan berkenaan tidak tepat dan mengelirukan masyarakat, sehingga menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat di dalam dan luar negeri itu.
"Laporan portal berita itu semalam yang melaporkan kerajaan negeri bercadang untuk melanjutkan masa operasi rumah urut, pusat hiburan dan sukan adalah tidak benar.
"Ingin saya tegaskan bahawa saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Lesen Hiburan Negeri Melaka dan kita menerima banyak permohonan daripada pemain industri swasta yang dibawa oleh pihak berkuasa tempatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas di sini Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya 2035 (Penggantian) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia) Saidin Lateh.
Rais berkata pun begitu, semua permohonan berkenaan akan diteliti mengikut prosedur dan tatakekola yang ditetapkan Jawatankuasa Khas Lesen Hiburan Negeri Melaka, sebelum ia dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk diputuskan sama ada lanjutan operasi premis berkenaan diluluskan atau tidak.
Beliau berkata setakat ini semua premis terlibat yang berada di dalam kawasan Melaka Raya sahaja dibenarkan beroperasi sehingga 2 pagi pada hujung minggu, manakala di luar kawasan Melaka Raya seperti Kota Syahbandar pula dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam sahaja pada hujung minggu.
"Permohonan ini akan diteliti, tetapi kita tidak ada lagi memberi kelulusan pada mana-mana premis terlibat untuk beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan seperti hari biasa.
"Had masa operasi berkenaan bertujuan mengawal sebarang aktiviti sosial di luar sana dan pada masa sama untuk merancakkan ekonomi negeri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


