MALAYSIA
EAIC dedah DOF P.Pinang gagal ambil tindakan isu pencerobohan bot pukat tunda

EAIC memaklumkan, siasatan mendapati DOF Pulau Pinang gagal melaksanakan pemantauan sewajarnya terhadap pegawai dan anggota penguat kuasa di bawah seliaannya.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang gagal mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda Zon B ke Zon A.
Zon A dan Zon B merujuk kepada pembahagian kawasan perairan untuk operasi bot pukat tunda berdasarkan jarak dari pantai. Zon A adalah kawasan perairan yang lebih dekat dengan pantai, manakala Zon B adalah kawasan yang lebih jauh.
EAIC dalam kenyataan memaklumkan siasatan mendapati DOF Pulau Pinang gagal melaksanakan pemantauan sewajarnya terhadap pegawai dan anggota penguat kuasa di bawah seliaannya dengan lawatan dan pemeriksaan ke pangkalan penguatkuasaan di Batu Maung hanya dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun.
Selain itu, EAIC juga mendapati pengurusan DOF Pulau Pinang tidak peka terhadap tugasan harian penguatkuasaan serta kekangan yang dihadapi oleh pegawai serta anggota di pangkalan berkenaan."DOF Pulau Pinang juga gagal memastikan butiran buku log penguatkuasaan direkodkan dengan lengkap dan teratur oleh pegawai yang bertanggungjawab," menurut kenyataan itu hari ini.
EAIC-DOF 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Sehubungan itu, EAIC mencadangkan agar surat teguran diberikan kepada pengurusan tertinggi DOF Pulau Pinang yang terlibat atas kegagalan melaksanakan pemantauan secara berkesan dan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai yang gagal memastikan butiran buku log penguatkuasaan direkodkan dengan teratur.
EAIC turut mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) aduan, siasatan atau operasi DOF ditambah baik dengan menyertakan rakaman video sebagai bukti selain melaksanakan kursus atau latihan kepada DOF Pulau Pinang, meliputi aspek pemahaman dan pematuhan terhadap SOP, garis panduan, tatacara penguatkuasaan, operasi dan pelesenan DOF.
Dalam kenyataan berasingan, EAIC memaklumkan pihaknya telah menerima aduan yang mendakwaAgensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah melepaskan tangkapan bersama-sama dengan sebuah bot yang melakukan kesalahan menggunakan pukat jenis bubu naga.
"Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700). Bagaimanapun siasatan mendapati bahawa aduan salah laku berkenaan tidak dapat disahkan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk siasatan berhubung aduan berkenaan dihentikandan tiada tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai yang terbabit.
Selaras dengan Subseksyen 4(1) Akta 700, EAIC turut mengesyorkan agar Ketua Pengarah Maritim Malaysia (Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah) untuk mengambil tindakan penambahbaikan bagi mengelakkan keadaan sama berulang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami