PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan kepada pembekalan kamera badan untuk pegawai dan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan operasi di lapangan.
Syor itu dibuat susulan siasatan EAIC terhadap aduan berhubung dakwaan tindakan kekerasan dan salah laku pegawai AADK Daerah Bera, Pahang semasa satu operasi pengesanan Orang Yang Disyaki pada 13 Okt tahun lepas di daerah itu.
Dalam kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan siasatan mendapati berlaku kecuaian dalam pengendalian taktikal serbuan dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Pasukan Operasi AADK Bera sehingga mencetuskan keadaan panik dan pergelutan yang mengakibatkan kecederaan kepada orang awam atau pihak ketiga di lokasi serbuan.
Menurut EAIC, siasatan di bawah subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 turut mendapati berlaku kegagalan membuat catatan insiden pergelutan atau kecederaan dalam Buku Catatan, selain kegagalan pengawasan dan pelaksanaan rakaman gambar sepanjang operasi itu.
"Dakwaan berkaitan wujudnya unsur ugutan oleh pegawai AADK Bera berhubung larangan mendedahkan kejadian kepada pihak luar adalah tidak dapat disahkan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, EAIC memaklumkan hasil siasatan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 disyorkan terhadap pegawai terlibat atas kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas dan ingkar perintah.
AADK turut disarankan untuk mewujudkan garis panduan berkaitan pertimbangan tahap risiko semasa operasi serta mengemas kini Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) BAB 02/2025 (Pindaan 2026), khususnya berhubung tatacara pengenalan diri dan pencahayaan di lokasi serbuan
Selain itu, AADK dinasihati agar memastikan pembekalan dan penyelenggaraan Buku Catatan diwajibkan kepada semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan di lapangan tanpa pengecualian serta keperluan merekodkan kecederaan dalam buku tersebut.
“EAIC kekal komited dalam memastikan tahap integriti dan profesionalisme agensi penguatkuasaan seliaan sentiasa diperkasakan demi kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA