KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan penerima bantuan program eBeliaRahmah agar tidak cuba menukar kredit RM200 yang diterima kepada wang tunai sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

Dalam maklum balas bertulis kepada Bernama berhubung isu berkenaan, MoF mengakui terdapat kes penerima menjadi mangsa penipuan selepas memilih untuk menggunakan 'khidmat menukar kredit kepada wang tunai' yang ditawarkan di platform media sosial.

"Terdapat kes yang dikongsi di media sosial mengenai penerima menjadi mangsa penipuan selepas menggunakan 'khidmat menukar kredit kepada wang tunai', dengan penerima tidak mendengar khabar berita daripada individu tersebut selepas membuat pemindahan. Apabila ini berlaku, kerajaan tidak akan dapat memberi pampasan kepada penerima," menurut kementerian melalui makum balas bertulis oleh pasukan Komunikasi Korporatnya.

Menurut MoF tidak ada keperluan bagi penerima menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai sekali gus merisikokan mereka kepada penipuan, kerana dana itu boleh digunakan di lebih 1.7 juta perniagaan di seluruh negara dan untuk membayar perkhidmatan serta pembelian secara dalam talian melalui DuitNow.

DuitNow adalah sistem e-pembayaran menggunakan kod QR yang membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran dan menerima dana daripada mana-mana bank berdaftar dan platform e-dompet, dengan hanya satu kod QR.

Menurut MoF cubaan untuk menunaikan dana tersebut akan mengagalkan matlamat sebenar program itu yang bertujuan membantu belia berusia 18 hingga 20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa membiasakan diri dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai dan pada masa sama meringankan beban kewangan mereka.

"Tidak perlu untuk menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai dan merisikokan diri kepada penipuan...Kita jangan benarkan sekumpulan kecil orang ini menjejaskan usaha baik kerajaan dengan menawarkan perkhidmatan pengeluaran tunai, yang akan menggagalkan matlamat program ini," menurut MoF.

Selain itu, menurut MoF dengan menunaikan dana tersebut, penerima dan peniaga sama-sama telah melanggar terma dan syarat ditetapkan untuk program itu, yang menyatakan 'RM200 tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan daripada rakan-ke-rakan'.

Menurut MoF tindakan telah diambil oleh penyedia e-dompet yang terlibat dalam program itu terhadap individu yang menyalahgunakan kemudahan e-dagang mereka dengan menawarkan perkhidmatan tunai, seperti menyekat akaun mereka.

Sehubungan itu, kementerian menyeru agar penerima hanya membuat pembelian fizikal daripada peniaga yang mengambil bahagian menggunakan platform e-dompet yang sah dan tidak cuba menunaikan dana, terutamanya melalui khidmat yang diiklankan di media sosial.

"Kami juga menyeru pengguna media sosial agar melaporkan kepada pengendali platform seperti Facebook atau Instagram jika mereka terjumpa iklan yang menawarkan untuk membantu penerima menunaikan kredit eBeliaRahmah mereka," katanya.

Ketika ditanya sama ada MoF sedang mengkaji untuk menambah baik mekanisme pelaksanaan program itu berikutan isu berkenaan, ia menyatakan maklum balas orang ramai mengenai inisiatif yang dibuat bagi memenuhi keperluan belia dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS), menunjukkan bahawa kebanyakan penerima tidak menghadapi masalah untuk memohon inisiatif tersebut dan banyak kedai runcit kini menerima pembayaran melalui e-dompet, termasuk di kawasan luar bandar.

"Kerajaan terbuka kepada cadangan orang ramai untuk menambah baik sistem penyampaian, sama ada eBeliaRahmah atau inisiatif lain. Mereka yang mempunyai cadangan boleh menulis kepada kami melalui 'Suarakan Pendapat Anda' di www.mof.gov.my/portal/pendapat," katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan terdapat banyak iklan di media sosial yang menawarkan khidmat menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, selepas ia dikreditkan ke akaun e-dompet penerimanya bermula Isnin lepas (26 Jun).

Bagaimanapun, ramai telah tampil menerusi hantaran di sosial media mereka menyatakan menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan khidmat seumpamanya, apabila tidak memperoleh semula dana mereka seperti yang dijanjikan oleh 'perkhidmatan' atau lebih tepat penipu terbabit.

-- BERNAMA