KUALA LUMPUR: Proses pengambilan tanah di sekitar Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), hanya akan bermula setelah semua proses dan prosedur undang-undang yang selaras dengan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960, dilaksanakan.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan proses pengambilan tanah di kawasan tersebut, juga akan mengambil kira pelbagai aspek dalam memastikan prosedur yang adil diberikan kepada semua pihak terlibat.

"Projek ECRL telah pun mengambil kira impak yang paling minimum dan telah melalui Pemeriksaan Awam, serta dimuktamadkan melalui Skim Keretapi berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Untuk rekod, MRL telah menjalankan lapan sesi perjumpaan dengan penduduk Taman Sungai Sireh, dalam usaha memberikan maklumat mengenai projek ECRL," menurut keyataan itu.

MRL mengeluarkan kenyataan itu, bagi memberi penjelasan berhubung keresahan penduduk di kawasan Taman Sungai Sireh, yang mendakwa rumah mereka akan diroboh sewenang-wenangnya bagi memudahkan pelaksanaan projek ECRL seperti tular baru-baru ini.

Dalam pada itu, kenyataan MRL itu memaklumkan proses penilaian tanah, akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bayaran pampasan akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah, yang dikendalikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor (JKPTG).

Justeru MRL dalam kenyataan itu menasihatkan pemilik rumah dan tanah yang terkesan, untuk melantik penilai swasta bagi membantu mereka berhubung perkara tersebut dan fi bagi perkhidmatan (penilai swasta) itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

"MRL menyeru pemilik dan penghuni untuk tidak terperdaya dengan spekulasi dan berita palsu di media sosial, mengenai tawaran pampasan yang rendah...MRL akan memberi maklumat mengenai status pengambilan tanah kepada pemilik dan penghuni yang terkesan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA