SUNGAI PETANI: Tiga sahabat berdepan hukuman gantung selepas dihadap ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas kesalahan mengedar dadah di Kampung Sungai Division pada 9 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka iaitu V. Balan, 36, dan A. Vedhiswaran, 22, merupakan penduduk tempatan manakala manakala seorang lagi rakan mereka, Velu, 24, warga negara Myanmar dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret, M. Kalairasi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka bertiga dituduh secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 1,660.5 gram.

Kesalahan itu dilakukan mereka pada pukul 11 malam 9 Januari lalu di sebuah pondok di perkarangan kandang lembu di Kampung Sungai Division.

Tiga sahabat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Mat Shah manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu keputusan laporan kimia.