Skip to main content

Malaysia

Ejen AI boleh jadi pembantu peribadi untuk wartawan dalam bidang khusus

71707719984_journalist.jpg
Kemunculan ejen kecerdasan buatan (AI) dilihat dapat membantu khususnya wartawan yang membuat liputan dalam bidang tertentu seperti kewangan, politik, kebudayaan dan hiburan. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Kemunculan ejen kecerdasan buatan (AI) dilihat dapat membantu khususnya wartawan yang membuat liputan dalam bidang tertentu seperti kewangan, politik, kebudayaan dan hiburan. 

Profesor di School of Media and Communication Shenzhen University, Yu Xin, berkata, pada masa hadapan ejen AI berpotensi menyediakan bantuan yang lebih peribadi dan cekap kepada setiap wartawan.

Yu berkata, AI seharusnya dilihat sebagai alat yang boleh membantu wartawan mendapatkan, memproses dan menganalisis maklumat dengan lebih cekap sebelum mengadakan temu bual, membuat liputan dan ulasan.

"AI kini berkeupayaan dalam menghimpunkan, menyusun dan memproses maklumat, selain membantu dalam penyampaian kandungan, namun bidang kewartawanan bukan sekadar mendapatkan maklumat.

“Dalam konteks itu, AI bukan sekadar cabaran kepada kewartawanan. Ia boleh menjadi satu bentuk bantuan dan peluang kepada industri ini,” katanya.

Yu berkata, kebimbangan bahawa AI akan mengambil alih tugas wartawan adalah tidak berasas.

Beliau berkata, setiap revolusi teknologi telah mengubah landskap kewartawanan, daripada percetakan dan penyiaran kepada Internet, tanpa menghapuskan profesion itu. 

"AI ialah satu lagi peralihan teknologi penting, dengan antara kesan utamanya mengurangkan halangan teknikal," katanya.

Berbeza dengan sistem komputer sebelum ini, yang memerlukan pengguna memahami bahasa pengaturcaraan, sebaliknya AI membolehkan pengguna berinteraksi dengan teknologi menggunakan bahasa harian.

Beliau berkata, wartawan perlu menyesuaikan diri dengan AI sebagai sebahagian daripada transformasi industri yang lebih menyeluruh, dan bukannya melihatnya semata-mata sebagai ancaman terhadap pekerjaan.

“Perkara paling asas dalam kewartawanan dan tugas seorang wartawan ialah temu bual dan membuat liputan di lapangan. Tugas ini tidak boleh digantikan oleh AI,” katanya.

Yu berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertemakan "Civilisational Exchange, Mutual Learning and Asia-Pacific Communication Narratives" pada Program Perkongsian Media Asia-Pasifik selama tiga hari di Shenzhen, China, anjuran Agensi Berita Xinhua baru-baru ini.

Program itu menghimpunkan 27 pengamal media dari seluruh Asia-Pasifik bagi mengikuti siri syarahan, lawatan ke perusahaan dan pertukaran profesional, yang menumpukan kepada bagaimana teknologi pintar dan digital membantu meningkatkan komunikasi antarabangsa dalam konteks Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement