Skip to main content

Malaysia

Ejen hartanah degil ekori konvoi Ahmad Zahid di KESAS didenda

Bryan Marc Daniel didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.32 pagi di Kilometer 48.5 KESAS. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur
Bryan Marc Daniel didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.32 pagi di Kilometer 48.5 KESAS. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah kerana gagal mematuhi arahan polis ketika mengekori konvoi yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), pada Rabu.

Tertuduh, Bryan Marc Daniel, 27, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.32 pagi di Kilometer 48.5 KESAS.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 kerana gagal mematuhi arahan anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, menegaskan semua pengguna jalan raya perlu mematuhi arahan anggota polis bagi menjamin keselamatan konvoi rasmi serta pengguna jalan raya lain.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis yang bertugas sebagai pengiring memberi amaran kepada pemandu berkenaan supaya tidak mengekori konvoi.

Bagaimanapun, pemandu berkenaan ingkar dan terus mengekori konvoi dengan cara yang boleh membahayakan keselamatan konvoi serta pengguna jalan raya lain.

Polis kemudian menahan lelaki berkenaan bersama kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.

Must Watch Video

Advertisement