SHAH ALAM: Gerakan #RasuahBusters memperkenalkan watak kucing bernama ‘Ejen Miow’, bagi membawa mesej antirasuah kepada masyarakat.

Ketua #RasuahBusters Datuk Hussamuddin Yaacub berkata watak kucing menjadi pilihan kerana sikap haiwan itu yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan situasi semasa.

"Rasuah semakin teruk di Malaysia, kita tidak boleh harapkan orang atas lagi. Jadi kita cari formula lain untuk merakyatkan dan menggerakkan mesej antirasuah.

"Kita harapkan pencinta kucing dapat memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi minat dan karakter kucing yang bertanggungjawab dan setia kepada tuannya sekali gus mengajar kita untuk memastikan negara tidak dikhianati oleh pemberi dan penerima rasuah.

“Tanggungjawab untuk menjaga dan memastikan khazanah negara tidak lagi dikhianati boleh dilihat pada karakter kucing itu yang waspada kepada sesuatu keadaan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Ejen Meow #RasuahBusters yang disiarkan melalui Facebook Sinar Harian, hari ini.

Malah jelasnya, kucing mampu menjadi medium pendidikan ihsan dalam jiwa masyarakat dengan cara menanamkan rasa sayang terhadap haiwan dalam diri kanak-kanak, yang akan membantu memutuskan rantaian rasuah bermula dari rumah.

Sementara itu, Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy memaklumkan, Ejen Meow mampu menjadi platform yang efektif dalam menyampaikan mesej anti rasuah berdasarkan status kucing sebagai haiwan yang dekat dengan masyarakat negara ini.

"Kita akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai persatuan kucing dan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik minat lebih ramai pemilik haiwan untuk menyokong Rasuah Busters melalui Ejen Meow," katanya.