Skip to main content

Malaysia

Ekonomi jingga berpotensi pacu pertumbuhan sektor ekonomi kreatif - Fahmi

Sektor ekonomi kreatif yang menyumbang kira-kira 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, kata Fahmi.
Sektor ekonomi kreatif yang menyumbang kira-kira 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, kata Fahmi.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi kreatif yang menyumbang kira-kira 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkembangan teknologi digital kini membolehkan kandungan kreatif tempatan termasuk audio siar atau podcast, muzik, animasi, permainan video dan kandungan media sosial dieksport ke pasaran global tanpa terikat kepada sempadan geografi.

“Kalau kita buat podcast, orang yang tonton bukan semestinya orang yang duduk dalam studio. Orang yang duduk di California boleh tengok, orang yang duduk di New Delhi boleh tengok, orang yang duduk di Vladivostok pun boleh tengok,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan audio siar Jangan Kecam yang dihoskan Nazz Abdullah.

Fahmi berkata, perkara itu menunjukkan kandungan dan harta intelek (IP) tempatan kini mempunyai ruang besar untuk dieksport ke seluruh dunia, sekali gus membuka peluang pendapatan lebih luas kepada pemain industri kreatif.

Beliau berkata, potensi berkenaan mendorong kerajaan membentuk Majlis Ekonomi Jingga bagi memandu dan membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif, termasuk sektor perfileman, muzik, permainan video, e-sukan dan animasi.

Mengenai sama ada pencipta kandungan atau content creator termasuk dalam kategori ekonomi jingga, beliau berkata, mereka merupakan sebahagian daripada ekonomi kreatif, namun model perniagaan mereka berbeza-beza dan perlu difahami sebelum bentuk bantuan khusus dapat ditentukan.

“Pencipta kandungan bukan satu kategori pekerjaan mempunyai model perniagaan sama kerana ada yang menjana pendapatan menerusi pemasaran afiliasi, jualan produk, penstriman, jumlah tontonan, pengiklanan, penajaan dan kerjasama dengan jenama," kata beliau.

Menurutnya, platform digital seperti TikTok, TikTok Shop, Shopee, Facebook Marketplace dan Lazada turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi digital dengan menyediakan sokongan serta latihan berkaitan jualan, siaran langsung dan penjanaan pendapatan.

Fahmi berkata, antara perkara perlu diberi perhatian kerajaan ialah isu hak cipta dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), khususnya apabila teknologi itu digunakan untuk menghasilkan kandungan berasaskan karya atau identiti pemilik hak intelek.

“Banyak pencipta kandungan sekarang ini bertanya tentang AI. Macam mana kita hendak guna, bolehkah kita guna Suno, ataupun mana-mana untuk cipta AI music.

“Contoh kita hendak guna (lagu) Faizal Tahir, kita masukkan AI, lepas itu buat lagu, AI itu masukkan dalam kandungan kita. Boleh atau tidak? Dalam hal ini, kerajaan kena bantu, kena campur tangan supaya hak Faizal Tahir dan orang-orang yang ada IP ini terpelihara, terjaga,” katanya.

Berhubung dana pencipta kandungan, Fahmi berkata, ketika ini belum ada dana khusus untuk kumpulan tersebut kerana sokongan kementerian masih banyak tertumpu kepada sektor seperti perfileman dan muzik berdasarkan dasar sedia ada seperti Dasar Perfileman Negara dan Dasar Penyiaran Negara.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan sokongan kepada media arus perdana dan media dalam talian yang layak, termasuk menerusi Dana Inovasi Media.

“Jumlah yang kita sediakan tahun lepas dan terpakai sampai ke tahun ini RM30 juta,” katanya, sambil menjelaskan syarikat media yang ingin memohon perlu memenuhi syarat termasuk berdaftar dengan Jabatan Penerangan sebagai media elektronik.

Dalam pada itu, Fahmi menggesa pemain industri kreatif termasuk pencipta kandungan yang layak supaya memanfaatkan kemudahan pelepasan cukai disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), termasuk bagi pembelian peralatan berkaitan operasi perniagaan.

“Setakat ini, belum ada persatuan pencipta kandungan Malaysia yang mengadakan pertemuan rasmi dengan saya untuk mengemukakan isu khusus industri berkenaan, namun kerajaan terbuka untuk memahami keperluan dan cabaran mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement