KUALA LUMPUR: Bantuan kerajaan penting untuk meredakan tekanan kos sara hidup dalam jangka pendek, namun peningkatan pendapatan rakyat yang lebih mampan perlu datang daripada perubahan struktur ekonomi dan penciptaan pekerjaan bernilai lebih tinggi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bantuan kerajaan berfungsi sebagai pelindung ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, namun reformasi struktur ekonomi merupakan kunci untuk meningkatkan pendapatan isi rumah secara berterusan.
"Kalau kita lihat dari segi bantuan, bantuan adalah hanya untuk menahan buat masa sekarang apabila ada kesan kos sara hidup.
"Tetapi bila kita ubah struktur ekonomi, dengan pekerjaan lebih bermutu tinggi, peluang pendapatan itu juga naik lebih tinggi," ujar beliau dalam wawancara eksklusif bersama Niaga AWANI menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Menurut Amir Hamzah, usaha mempelbagaikan ekonomi menjadi antara asas penting untuk memperkukuh daya tahan negara ketika berdepan sebarang kejutan luar.
Katanya, kekuatan ekonomi negara bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil dasar kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara, termasuk melalui peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Bila kerencaman ekonomi naik, mutu pekerjaan pun naik, itu yang kita mahu.
"Ekonomi yang lebih pelbagai bukan sahaja meningkatkan daya tahan negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan bermutu tinggi dan peluang pendapatan yang lebih baik," kata beliau.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah menjelaskan, peningkatan pendapatan akan memberi lebih ruang kepada isi rumah untuk berbelanja, sekali gus menyokong permintaan domestik dan merancakkan aktiviti ekonomi negara.
Pendekatan itu, kata beliau, selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada usaha ‘menaikkan siling’ pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama ‘menaikkan lantai’ supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih meluas.
Menurut beliau, kemajuan dalam usaha menaikkan siling ekonomi sudah mula dapat dilihat, namun tumpuan seterusnya adalah mempercepat usaha menaikkan lantai ekonomi negara.
Ia termasuk memastikan pertumbuhan, pelaburan dan kepelbagaian ekonomi diterjemahkan kepada pekerjaan lebih bermutu serta peluang pendapatan yang lebih baik kepada rakyat.