KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan pertengahan (M40) tidak terpinggir daripada bantuan kerajaan, sebaliknya, sokongan kepada kumpulan itu disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk subsidi bersasar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta penciptaan pekerjaan berkualiti.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan kerajaan mengambil kira keperluan yang berbeza bagi setiap lapisan masyarakat dan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan pemberian bantuan tunai secara langsung.
"Tidak betul kalau kita kata golongan pertengahan tidak mendapat pertolongan. Kerajaan memahami setiap orang mempunyai keperluan tersendiri, jadi sebahagian bantuan diberikan dengan cara yang berbeza," ujarnya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut Amir Hamzah, antara bentuk sokongan yang dinikmati golongan M40 ialah penyasaran subsidi bahan api yang memastikan manfaat terus dinikmati rakyat Malaysia, di samping mengurangkan ketirisan kepada pihak yang tidak layak.
Katanya, penjimatan hasil penyasaran subsidi itu membolehkan kerajaan terus memperkukuh perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan yang turut dimanfaatkan golongan pertengahan.
Beliau berkata, peningkatan kualiti perkhidmatan awam penting kerana kumpulan M40 juga bergantung kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur yang disediakan kerajaan.
Namun, dalam masa sama, beliau menegaskan, sokongan kepada golongan M40 tidak boleh terhad kepada subsidi atau perkhidmatan awam semata-mata.
Sebaliknya, kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan mobiliti sosial menerusi penciptaan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi.
"Bagi golongan pertengahan, mobiliti sosial sangat penting. Mereka mahukan peluang untuk menaiki tangga kerjaya dengan lebih baik.
"Kalau kita dapat mencipta lebih banyak peluang seperti itu, lebih cepat mereka boleh meningkatkan pendapatan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu beralih daripada struktur pekerjaan yang masih tertumpu kepada aktiviti berkemahiran rendah kepada sektor bernilai tinggi yang menawarkan produktiviti serta gaji lebih baik.
Menurutnya, peningkatan produktiviti dan kualiti pekerjaan merupakan antara pemacu utama bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta membuka laluan mobiliti sosial yang lebih luas kepada golongan M40.
Justeru, agenda meningkatkan ‘siling’ ekonomi bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi memastikan pertumbuhan itu diterjemahkan kepada peluang kerjaya dan peningkatan pendapatan yang lebih baik untuk golongan pertengahan.