Empat generasi dari jurai keturunan Rozita Che Wan berada di Tanah Suci. Cerita sikit macam mana Che Ta rancang pemergian beribadat keluarga besar Che Ta ini?
Saya rancang trip ibadat ini mulai Disember tahun lepas. Tetapi namanya pun merancang. Tuhan yang mengatur di atas, kita tak tahu. Dah plan baik-baik, tiba-tiba Zain pula dapat offer shooting. Saya dah cuba minta dan pujuk production, mohon dapat releasekan Zain barang sembilan hari, tapi tak dapat. Tak apalah. Saya reda. Saya cakap dengan Zain, takpa, tak ada rezeki kali ini. Tapi bila adik-beradik dengar kami satu famili nak pi, depa pun pakat-pakat mahu ikut sekali. Kami mai kali ni 15 orang.
Berniqab/berpurdah, memperlihatkan hanya sepasang mata. Apa perasaan Che Ta memakainya di sana? Kongsikan?
Sini cuacanya panas dan berdebu, so selalunya bila kami mai sini, kami memang akan pakai purdah/niqab untuk menutup wajah. Alhamdulillah, memang selesa berpurdah di sini. Tiada siapa melihat kita dengan pandangan lain macam. Apatah lagi bersangka-sangka atau mempersoalkan niat kita.
Rezeki selepas perkahwinan dan lahirnya Aaisyah Dhia Rana Mohamad Zain, nampaknya semakin melimpah-ruah. Azam Che Ta selepas ini?
Alhamdulillah, syukur yang amat sangat atas kurniaan Allah SWT ini. Saya ingin mengembangkan lagi bisnes di bawah label BYRCW. Ada beberapa lagi produk bakal berada di pasaran selain Precious, Gorgeous, Losen Putih Ajaib dan Jus Goyang Rapat. Akan datang, saya akan keluarkan produk kebersihan wanita, kopi serta dua lagi aroma haruman terbaru. Semoga bisnes ini dapat membantu lebih ramai anak-anak tempatan mencari rezeki dan meraih pendapatan sampingan.
Momen paling tak dapat Che Ta lupakan sepanjang berada di Tanah Suci?
Peluang mengerjakan solat dan berdoa di Raudhah, Hijir Ismail dan Multazam; yakni tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa. Saya selalu mengingati sabda Rasulullah SAW yang berbunyi lebih kurang begini, “Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman syurga.” Saya percaya semua umat Islam teruja kalau dapat menadah tangan, berdoa di Raudhah. Inilah ketenangan yang saya rasa, semua orang mahu cari apabila menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Doa Che Ta di hadapan Ka’abah?
Tiada lain yang saya fikir, hanyalah doa yang baik-baik untuk anak-anak dan suami.
Perbezaan rasa hati Che Ta kala kembara ke Tanah Suci Mekah berbanding sekian banyak percutian luar negara Che Ta sebelum ini, contohnya ke Paris, Switzerland dan banyak lagi?
Banyak bezanya. Di sini, kita berlumba-lumba untuk beribadat. Satu kebaikan yang kita buat, 100 ribu pahala jadi ganjarannya. Mai sini memang tak pikiaq langsung pasai Malaysia, atau pasai kerja. Fokus kita memang kat sini. Tapi ya, waktu menziarah tu baru teringat nak ambil gambaq. Saya bawa photographer pun bukan nak ambil gambaq sangat pun. Tapi memang dah tertanam niat itu dalam hati saya nak bawa dia. Besaq pahala kita bawa orang menunaikan ibadat di tanah suci Allah SWT ni. Tapi… bila orang ramai duk kecam yang kami mai Mekah bawa photographer… saya rasa kecewa. Konsep yang saya pegang sebagai pegangan hidup senang saja. Bila kita bagi orang peluang, Allah SWT akan beri kita lebih banyak peluang. The more you give, the more you will get. Saya mencari keberkatan rezeki yang telah Allah SWT beri ini.
Perkara yang akan Che Ta paling rindu tentang Mekah/Madinah?
Dah tentu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, sebab banyak masa diluangkan di masjid. Terasa diri ini dekat dengan Rasulullah SAW dan Allah SWT. Masa nak tinggalkan Madinah, saya rasa sedih, saya nangis, saya takut tak dapat datang lagi. Saya berdoa banyak-banyak, “Ya Allah, moga ini bukan ziarahku yang terakhir…”
Satu lagi yang pasti saya rindu ialah Nasi Mandy. Memang ‘bermandi’lah kat sini. Tak tau la berapa puluh kilo dah naik ni, kikikih…
Kredit foto : @Saifvl