Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[EKSKLUSIF] PMKS tidak boleh diberi ‘tongkat’ selamanya - Amir Hamzah

KUALA TERENGGANU, 18 Okt -- Peniaga barangan kraftangan menyusun barangan untuk dijual kepada pelanggan, semasa tinjauan FotoBernama di Pasar Kedai Payang hari ini.  Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 Malaysia MADANI mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan untuk sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sektor PMKS mempunyai kedudukan penting dalam ekonomi negara, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan pelbagai cabaran luaran. - Gambar Hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu berfungsi sebagai sokongan ketika berdepan tekanan ekonomi, bukannya menjadi ‘tongkat’ yang mewujudkan kebergantungan berpanjangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat kerajaan adalah membantu PMKS membina daya tahan dan meningkatkan daya saing supaya mampu berkembang menjadi syarikat yang lebih besar.

"Usaha kerajaan untuk menolong PMKS bukan untuk memberi tongkat selama-lamanya, tetapi menolong semasa ada tekanan," ujar beliau dalam wawancara eksklusif bersama Astro AWANI menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Menurut Amir Hamzah, sektor PMKS mempunyai kedudukan penting dalam ekonomi negara, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan pelbagai cabaran luaran termasuk ketegangan perdagangan, gangguan rantaian bekalan susulan perang Rusia-Ukraine serta konflik di Asia Barat yang meningkatkan kos input perniagaan.

Bagi membantu syarikat menghadapi tekanan tersebut, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan termasuk dana modal kerja bagi memastikan perniagaan yang berdaya maju dapat terus beroperasi.

Namun, beliau menegaskan, penyelesaian kepada cabaran PMKS tidak boleh bergantung kepada suntikan dana semata-mata.

"Kita tak mahu hanya menampung dana sahaja. Kita juga memberi pertolongan dengan memberi didikan dan mekanisme untuk meningkatkan daya saing PMKS melalui latihan yang dibuat oleh agensi-agensi kita.

"Kalau kita ubah cara mereka bersaing dan tingkatkan daya saing, mereka akan lebih kuat pada masa depan," jelas beliau.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan mahu memastikan pelaburan asing yang menerima insentif untuk beroperasi di Malaysia menghasilkan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada syarikat tempatan.

Menurut beliau, syarat terhadap pelabur turut diperkukuh supaya kehadiran mereka bukan sahaja membawa modal, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta membuka ruang kepada PMKS tempatan menyertai rantaian bekalan sebagai vendor.

"Kita mahu apabila mereka datang ke Malaysia dan membuat perniagaan di Malaysia, mesti ada limpahan kepada syarikat-syarikat Malaysia.

"Kita mahu lebih banyak penggajian, lebih banyak peluang pekerjaan dan mereka juga membantu syarikat PMKS dengan menjadikan mereka vendor dalam ekosistem," katanya.

Beliau berkata, hubungan yang lebih kukuh antara pelaburan berskala besar dan syarikat tempatan akan memperkasakan ekosistem PMKS negara serta membolehkan lebih banyak syarikat meningkatkan skala perniagaan.

Katanya, matlamat akhir kerajaan adalah memastikan PMKS bukan sekadar mampu bertahan ketika berdepan kejutan ekonomi, tetapi berkembang daripada perusahaan mikro dan kecil kepada syarikat bersaiz sederhana, sebelum berpotensi muncul sebagai syarikat yang lebih besar.

Pendekatan itu sekali gus mengubah peranan bantuan kerajaan daripada sekadar menyerap tekanan jangka pendek, kepada usaha membina keupayaan PMKS untuk berdikari, berkembang dan bersaing dalam kitaran ekonomi bernilai tinggi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement