KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan kesediaan sumber air negeri berada pada tahap baik bagi menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) dan fenomena El Nino yang dijangka memberi tekanan kepada sumber air.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kapasiti tujuh empangan utama di negeri itu ketika ini melebihi 75 peratus dengan jangka hayat simpanan air dianggarkan antara tiga hingga enam bulan.
Beliau berkata, melalui pelbagai langkah kesiapsiagaan termasuk pengurusan pelepasan air empangan, penggunaan sumber air alternatif serta pembangunan infrastruktur simpanan air, keseluruhan kesediaan sumber air negeri mampu bertahan sehingga sembilan bulan.
“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan telah menggerakkan pelbagai langkah kesiapsiagaan secara menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta kesinambungan bekalan air sepanjang tempoh cuaca kering ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Jamaliah, paras air empangan dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang menerusi kawalan pelepasan air secara terkawal berdasarkan keperluan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA).
Katanya, operasi itu turut dilaksanakan bersama penggunaan kolam sumber air alternatif mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Musim Kering Negeri Selangor bagi meningkatkan jangka hayat takungan empangan.
Beliau berkata, lebih 140 kolam sumber air alternatif serta beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) turut dikenal pasti untuk dinaik taraf dengan kemudahan bekalan air.
“Pelaksanaan SORSS membolehkan penggunaan sumber air alternatif dioptimumkan dengan keupayaan bekalan sehingga tiga bulan melalui pengepaman air kolam ke sungai menggunakan pam mudah alih ketika paras air sungai rendah akibat cuaca panas dan kering,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan sekiranya kapasiti air empangan menurun kepada paras 50 peratus, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MET Malaysia.
Beliau berkata, pemantauan kualiti sumber air turut dipertingkatkan khususnya di kawasan berisiko seperti kawasan perindustrian bagi memastikan tiada pelepasan efluen yang tidak mematuhi peraturan.
Katanya, pemantauan 24 jam tanpa henti kini dilaksanakan di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mengawal risiko pencemaran yang boleh menjejaskan operasi LRA.
Jamaliah turut menyeru orang ramai supaya mengamalkan langkah penjimatan air serta mengikuti maklumat cuaca daripada sumber rasmi, terutama ketika tempoh Julai hingga September yang dijangka lebih panas dan kering.