Skip to main content

Malaysia

MAEF 2026 bakal pamer reproduksi karya Picasso berkaitan 1MDB

Amerrudin (dua, kiri) bercakap pada sidang media Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, 23 Nov 2026. --fotoBERNAMA
Amerrudin (dua, kiri) bercakap pada sidang media Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, 23 Nov 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Reproduksi sebuah karya seni Pablo Picasso yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dipamerkan di ruang khas pada Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 27 hingga 29 Nov ini.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata karya asal bertajuk L’Écuyère et Les Clowns itu merupakan cetakan litografi berwarna Picasso bertarikh 1961.

“Karya ini dipersembahkan bersama maklumat berkaitan latar belakang, konteks seni, medium dan interpretasi visualnya sebagai sebahagian daripada pendekatan pendidikan seni kepada pengunjung.

Advertisement

“Kita melihat pendekatan interpretasi seperti ini sebagai satu peluang untuk membawa masyarakat mendekati karya seni bukan sekadar melalui pemerhatian visual, tetapi juga melalui pemahaman terhadap sejarah, konteks dan nilai artistiknya,” katanya pada sidang media MAEF 2026 di sini hari ini.

Amerrudin berkata ruang pameran berkaitan 1MDB itu juga bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai integriti dengan mengetengahkan kisah di sebalik karya seni yang dibawa pulang ke Malaysia menerusi usaha pemulihan aset.

Advertisement

Bagaimanapun, Amerrudin berkata karya asal Picasso itu, yang dibawa pulang ke Malaysia bersama tiga karya seni lain pada April lepas menerusi usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB, akan dipamerkan kepada orang ramai di Balai Seni Negara pada masa akan datang.

Mengenai penganjuran semula MAEF selepas lima tahun, Amerrudin berkata edisi sulung pada 2021 menghimpunkan penggiat seni visual untuk membincangkan kesan pandemik COVID-19 terhadap industri serta merancang langkah pemulihan.

“Jika MAEF 2021 memberi penekanan kepada kelangsungan hidup penggiat seni, MAEF 2026 pula memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti ekonomi, peluasan pasaran dan pengukuhan daya saing industri seni visual Malaysia di peringkat ASEAN dan global.

“Perubahan pendekatan ini amat penting kerana kita tidak mahu industri seni visual negara hanya berkembang dari sudut penghasilan karya, tetapi turut berkembang sebagai satu industri yang mempunyai struktur ekonomi, jaringan perniagaan dan peluang kerjaya yang lebih profesional,” katanya.

Bertemakan “ART KL”, MAEF 2026 bakal menghimpunkan 47 pempamer termasuk galeri seni, studio artis, muzium, institusi pendidikan dan persatuan seni visual, selain menawarkan bengkel dan demonstrasi yang membolehkan pengunjung melihat sendiri proses penghasilan karya seni.

Pameran itu dibuka kepada orang ramai secara percuma dari 6 petang hingga 10 malam pada 27 Nov dan dari 10 pagi hingga 10 malam pada 28 dan 29 Nov.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement