KUALA LUMPUR:Parti Amanah Negara (Amanah) membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan sekiranya berhasrat mengemukakan cadangan untuk mengisytiharkan darurat.

Amanah dalam kenyataan memaklumkan, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 ketika ini.

Sebaliknya, jelas kenyataan itu, apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini.

“Hakikatnya tiada keperluan, mengikut pakar-pakar kesihatan awam dan penyakit-penyakit berjangkit, untuk mengisytiharkan darurat untuk menangani ancaman COVID-19.

“Apa yang disarankan juga adalah strategi komunikasi yang berkesan dan jelas mengenai semua tindakan yang perlu dilakukan rakyat,” kata kenyataan itu di sini pada Sabtu.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara

BACA: Darurat tidak akan bantu tangani COVID-19 - Dr Mahathir

BACA: Pertahankan perlembagaan ketika tangani krisis - Mohamad Hasan

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Pahang.

Semalam juga di sebelah pagi berlangsung Mesyuarat Khas Kabinet yang diadakan di Putrajaya dipercayai antara lain membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan dan cara mengatasi gelombang ketiga wabak COVID-19.

Mengulas lanjut, Amanah berkata, darurat adalah tindakan politik yang ingin mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga COVID-19 dan ini akan hanya menambahkan derita yang sedia dihadapi rakyat.

“Mahu tidak mahu pengistiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kaca mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.

“Amanah berkeyakinan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen.

“Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Amanah mengharapkan agar Seri Paduka Baginda menolak cadangan untuk mengisytiharkan darurat dan sebaliknya mempertahankan institusi demokrasi berparlimen sekaligus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

“Sepatutnya Perdana Menteri mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawatan. Ini adalah tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding pengisytiharan darurat.

“Tindakan meletak jawatan ini akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan selain dapat  menyerahkan kepada yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perlembagaan  Persekutuan,” jelas kenyataan itu lagi.