NATIONAL
'Elak makan kerang terdampar di pesisir Pantai Sura'

Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak makan kerang yang dikutip di Pantai Sura, Dungun, kerana kemungkinan adanya kandungan toksin berbahaya. -Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan supaya elakkan daripada makan kerang yang dikutip di Pantai Sura, Dungun bagi memastikan tiada kandungan toksin yang membahayakan susulan fenomena kerang naik ke pesisir pantai akibat ombak besar melanda di kawasan tersebut.
Ringkasan AI
- Orang ramai dinasihatkan supaya elakkan daripada makan kerang yang dikutip di Pantai Sura, Dungun, kerana kemungkinan adanya kandungan toksin berbahaya.
- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah mengambil sampel kerang untuk dianalisis di makmal bagi memastikan tiada biotoksin berbahaya.
- Fenomena kerang naik ke pesisir pantai disebabkan oleh ombak besar akibat Monsun Timur Laut (MTL), dan orang ramai dinasihatkan untuk menunggu keputusan analisis sebelum memakan kerang tersebut.
"Pada kali ini, sampel sudah diambil dan akan dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan kerang itu tidak mengandungi kandungan toksin berbahaya.
"Selagi keputusan analisis belum diperoleh maka orang ramai dinasihatkan untuk hindari makan kerang tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku termasuk kes keracunan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video menunjukkan kelihatan ramai pengunjung mengumpul kerang-kerang yang terdampar di atas pasir.
Pantai tersebut meriah dipenuhi orang ramai terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak dengan menggunakan pelbagai cara seperti pukat ikan dan baldi untuk mengumpul hasil laut yang melimpah.
Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, fenomena Monsun Timur Laut (MTL) dan ombak besar yang melanda kawasan pantai di Terengganu terutama Pantai Sura menyebabkan banyak kerang-kerangan terdampar di kawasan tersebut.
"Tidak mengelak kemungkinan fenomena tersebut menyebabkan kerang yang berada di kawasan lautan naik ke pantai.
"Dengan keadaan cuaca di mana berlaku ombak besar ketika ini, hidupan laut itu akan naik ke pesisir pantai dan mungkin apabila cuaca sudah kembali reda, fenomena sedemikian tidak akan berlaku lagi," jelas beliau. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami