IPOH: Kurang daripada 50 peratus rumah di seluruh Perak dianggarkan telah memasang jeriji pada tingkap yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, manakala sebahagian besar memilih untuk memasang jeriji kekal.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Syed Azman Syed Ghazali berkata pemasangan jeriji kekal mempunyai risiko tinggi dan berbahaya khususnya apabila berlaku kebakaran.

Menurutnya berdasarkan kepada pengalaman, kerja-kerja menyelamat menjadi sukar dan pada masa sama, mangsa juga terperangkap di dalam rumah disebabkan jeriji kekal tersebut.

“Elakkan pemasangan jeriji kekal ini kerana berdasarkan kepada kes-kes lepas, kebanyakan mangsa kebakaran rumah (gagal diselamatkan) kerana pemasangan jeriji kekal.

“Kita faham daripada segi keselamatan, seperti bimbang rumah akan dimasuki pencuri dan sebagainya. Tetapi kita nasihatkan agar sekurang-kurangnya ada satu (tingkap) alternatif yang boleh keluar ketika kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran  Poster Kempen Keselamatan Kebakaran bersama Perak Transit Berhad di Terminal Bas Amanjaya di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Syed Azman berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan pemasangan jeriji kekal pada tingkap menjadi pilihan kebanyakan pemilik rumah di Perak atas faktor kos yang rendah berbanding jeriji yang boleh dibuka.

“Walaupun kosnya murah tetapi kita harus fikirkan dari segi keselamatan ketika saat-saat kecemasan. Lagi pun kos pemasangan jeriji tidak perlu berulang, yang mana jeriji itu mampu bertahan untuk tempoh yang lama.

“Apa salahnya untuk kita keluarkan sedikit wang demi keselamatan kita sendiri. Tidak perlu semuanya jeriji yang ada ciri-ciri keselamatan seperti boleh dibuka, cukup untuk satu atau dua sahaja,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, JBPM Perak sentiasa bersedia untuk memberi penerangan dan nasihat kepada orang awam tentang pemasangan jeriji yang lebih selamat sekiranya diminta.

Selain itu, beliau juga menasihatkan orang ramai untuk mempunyai satu alat pemadam api di setiap rumah masing-masing sebagai langkah awal mengawal kebakaran.

Sementara itu, Syed Azman memberitahu daripada 16,579 panggilan kecemasan yang diterima JBPM Perak, 3,942 panggilan membabitkan kes kebakaran bagi tempoh Januari sehingga hari ini.

Katanya, untuk kes kebakaran, sebanyak sembilan kes membabitkan kematian, 39 cedera sementara 95 terselamat, selain RM53 juta kerugian harta akibat kebakaran dicatatkan bagi tempoh sama.