KUALA LUMPUR: Negara-negara di Selatan Global sedang mempergiat usaha memperkukuh ketahanan sistem penjagaan kesihatan dan kedaulatan farmaseutikal, dengan BRICS muncul sebagai platform utama bagi kerjasama saintifik, pertukaran teknologi serta pembangunan projek bersama dalam bidang perubatan dan farmaseutikal, menurut TV BRICS.
Rangkaian media itu berkata pandemik COVID-19 menyerlahkan kepentingan sistem kesihatan yang berdaya tahan, keupayaan saintifik domestik dan sektor pembuatan farmaseutikal yang kukuh.
Keadaan itu menjadikan akses kepada ubat-ubatan dan pembangunan vaksin bukan sahaja keutamaan dasar sosial, malah faktor penting yang menyokong daya tahan sesebuah negara.
Dalam deklarasi penutup Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, negara anggota menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkukuh tadbir urus kesihatan global menerusi kerjasama antarabangsa dan solidariti yang lebih erat.
“Dengan mengiktiraf sifat saling berkaitan cabaran kesihatan global dan implikasi rentas sempadannya, kami menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh tadbir urus kesihatan global melalui peningkatan kerjasama antarabangsa dan solidariti,” menurut deklarasi itu.
TV BRICS melaporkan yang pakar semakin menekankan kepentingan “kedaulatan farmaseutikal”, iaitu keupayaan sesebuah negara untuk menyediakan ubat-ubatan penting secara berdikari, membangunkan pengeluaran vaksin sendiri dan mengekalkan tenaga kerja perubatan yang berkemahiran tinggi.
Margarita Isaakova, Ketua Pejabat Antarabangsa Jabatan Pembangunan Antarabangsa di Universiti Perubatan Penyelidikan Kebangsaan Rusia Pirogov di bawah Kementerian Kesihatan Persekutuan Rusia berkata akses kepada vaksin melangkaui ketersediaan fizikalnya.
“Konsep ‘ketersediaan’ bukan hanya merujuk kepada kewujudan vaksin di lokasi rawatan. Aspek ekonomi -- kemampuan untuk membeli atau mendapatkan ubat tanpa mengira tahap pendapatan pengguna -- adalah sama penting.
“Selain itu, ketersediaan juga berkait rapat dengan kesiapsiagaan infrastruktur untuk menerima, menyimpan dan mengedarkan jenis vaksin tertentu, yang tidak semestinya dapat dicapai di luar pusat bandar utama,” katanya kepada TV BRICS.
Menurut Isaakova, banyak negara Selatan Global masih bergantung kepada import bahan farmaseutikal aktif dan bahan sokongan lain, menjadikan sistem kesihatan mereka terdedah kepada gangguan logistik global serta perubahan dasar eksport, seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19.
Laporan itu menyatakan negara anggota BRICS membangunkan sektor farmaseutikal yang berkembang pesat, dengan negara anggota mewujudkan rantaian pengeluaran bebas serta melancarkan inisiatif saintifik bersama bagi mencapai kedaulatan farmaseutikal dan memajukan pembangunan vaksin.
TV BRICS turut menyatakan bahawa India kekal sebagai pengeluar dan pembekal ubat generik terbesar dunia, manakala China mempunyai kapasiti pengeluaran vaksin terbesar di dunia. Russia, Brazil, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Afrika Selatan, Ethiopia, Iran dan Indonesia juga sedang memperluaskan keupayaan pengeluaran farmaseutikal dan vaksin domestik menerusi strategi nasional serta inisiatif yang disokong kerajaan.
Walaupun terdapat kemajuan, laporan itu menyatakan beberapa cabaran masih wujud, termasuk rejim perlindungan paten, kos tinggi ubat inovatif dan kapasiti pembiayaan yang terhad dalam sistem kesihatan negara.
Melihat perkembangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pakar penjagaan kesihatan dan kesihatan awam Vitoria Davi Marzola berkata menunjukkan industri farmaseutikal di negara membangun berada pada trajektori pertumbuhan, khususnya selepas pengalaman pandemik COVID-19.
“Jelas bahawa kebergantungan semata-mata kepada syarikat farmaseutikal besar dan rangkaian global yang tertumpu mewujudkan kerentanan, melambatkan akses dan menyumbang kepada ketidaksamaan kesihatan,” katanya.
TV BRICS turut menyatakan bahawa Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin BRICS, yang ditubuhkan pada 2022 susulan cadangan Afrika Selatan pada 2018, berfungsi sebagai platform bersama bagi kerjasama penyelidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan projek kolaboratif untuk memastikan akses saksama kepada vaksin serta produk imunobiologi.
“BRICS mempunyai peluang untuk membina asas bagi kedaulatan kesihatan dan teknologi. Negara seperti India, China dan Brazil sudah mempunyai pengalaman luas dalam pengeluaran ubat, vaksin, biosimilar dan produk imunobiologi. Cabarannya ialah mengubah keupayaan nasional ini menjadi platform bersama dalam kalangan negara anggota,” kata Marzola.
-- BERNAMA