JAKARTA: Indonesia akan menyusun semula pelaksanaan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) selepas kerajaan menganggarkan lebihan kos melebihi Rp1 trilion (RM225.9 juta) sebulan susulan peningkatan jumlah dapur penyedia makanan yang diluluskan melepasi sasaran asal program itu.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan Zulkifli Hasan berkata jumlah dapur penyedia makanan atau Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG) yang menyediakan dan mengagihkan makanan di bawah program itu meningkat kepada 27,877 berbanding sasaran awal kira-kira 21,000 lokasi, sekali gus menambah 6,877 lokasi baharu.
Beliau berkata lebihan lokasi itu boleh menyebabkan tambahan perbelanjaan melebihi Rp1 trilion sebulan berdasarkan insentif harian sebanyak Rp6 juta yang diberikan kepada setiap dapur SPPG.
“Jika lebihan kos mencecah Rp1 trilion sebulan, maka dalam tempoh setahun jumlahnya mencecah Rp12 trilion,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan akan menggunakan tempoh sebulan akan datang untuk menyusun semula pelaksanaan program itu bagi menangani isu berkenaan serta memperkukuh pemantauan.
Zulkifli berkata Presiden Prabowo Subianto telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan memutuskan untuk menggantikan pengurusan program berkenaan dengan apa yang disifatkannya sebagai pasukan pengurusan baharu.
Di sebalik isu berkenaan, beliau berkata program itu telah memperluas capaian, dengan jumlah wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil yang menerima manfaat meningkat daripada kira-kira dua juta kepada 9.9 juta dalam tempoh singkat.
-- BERNAMA