KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terjebak dengan helah scam pelaburan berkaitan wakaf kerana hanya Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi harta tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Amir Shaharuddin berkata Majlis Agama Islam Negeri adalah penjaga amanah utama tersebut dan seterusnya pihak Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan perbadanan yang diwujudkan dan diberi status 'mutawalli'.

"Masyarakat perlu meneliti secara mendalam ke manakah wakaf itu disalurkan. Dalam konteks wakaf ini yang paling utama adalah pemegang amanah tunggal bagi harta wakaf iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan seterusnya Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan perbadanan diberi status 'mutawalli'.

"Oleh itu, pelabur perlu mencari entiti wakaf yang ada kuasa. Kita yang menguruskan wakaf pula kena bijak kerana banyak yang mendakwa nak buat wakaf tetapi tidak dipantau atau dikawal selia dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi panel InvestSmart Fest 2021 (ISF 2021) bertajuk 'Manfaat Pelaburan Patuh Syariah' anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) secara maya di sini, semalam.

Mengulas syarikat pengurusan unit amanah bercirikan elemen wakaf seperti Kenanga Investor Bhd dan Maybank Investment Bhd, beliau berkata keuntungan dividen tersebut diagihkan berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.

"Apabila mereka ini kumpul RM10 juta dari para pelabur, ia akan dilaburkan secara profesional. Jika dapat dividen 10 peratus maka pelabur dapat keuntungan RM1 juta dan jumlah itu diagihkan mengikut perjanjian iaitu 50 peratus diagihkan semula kepada pelabur manakala bakinya diwakafkan.

"Pelabur tidak hilang semua duit dividen kerana separuh lagi diwakafkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia atau Majlis Agama Islam Negeri. Jika syarikat tersebut bekerjasama dengan yayasan, kami akan menerima RM500,000 sebagai wakaf oleh pelabur dan duit wakaf ini disalurkan ke projek yang diusahakan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar KUISCELL Sdn Bhd Don Daniyal Don Biyajid pula menasihatkan masyarakat supaya bertindak bijak dalam memilih saluran tepat untuk melabur, termasuk meneliti latar belakang syarikat terbabit untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Perkataan 'TIPU' ini sesuai dengan scammer pelaburan iaitu T - (scammer) tidak akan rugi; I- indah khabar dari rupa; P - (menabur janji) peluang hanya sekali dan U - (menjanjikan) untung besar (dengan segera)," katanya.

Dalam pada itu, Prof Madya Dr Azman Mohd Noor dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pekerja profesional juga tidak terkecuali ditipu dengan scammer pelaburan.

"Sekarang ini ada banyak platform halal, jadi kenapa melabur dengan skim cepat kaya? Lebih baik jika ia digunakan untuk wakaf bagi pembinaan masjid. Sikap tamak inilah yang menyebabkan kita lupa ke mana perlu salurkan atau belanjakan duit," katanya.

Beliau berkata, pihak SC juga telah mengeluarkan garis panduan mengenai wakaf itu yang perlu dipatuhi oleh pengurus dana yang berhasrat memperkenalkan dana bercirikan wakaf.

"Kita boleh melabur dalam unit amanah, saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan juga instrumen pasaran lain seperti sukuk patuh Syariah. Tidak perlu risau kerana pada masa sama aktiviti pelaburan patuh Syariah ini juga membolehkan pelabur melakukan kebajikan melalui wakaf," katanya.

Dalam pada itu, SC berkata program InvestSmart(R) Fest yang diadakan secara maya pada 8-10 Okt, 2021, adalah bersempena Bulan Celik Kewangan 2021 Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) dan Minggu Pelabur Dunia IOSCO 2021 iaitu usaha global dalam kalangan pengawal selia pasaran untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan pemerkasaan pelabur.

Acara InvestSmart(R) Fest yang diperkenalkan pada 2014 adalah sebahagian daripada usaha SC bagi mendidik pelabur dengan menumpukan aspek meningkatkan celik kewangan dan pelaburan.

-- BERNAMA