KUALA LUMPUR: Gelagat dan telatah anak-anak kecil sudah pasti menjadi tumpuan ketika Hari Raya Aidilfitri kerana merekalah yang memeriahkan suasana.

Tidak sah jika mereka tidak dikerumuni, disentuh, dipeluk atau dicium oleh orang dewasa apabila berjumpa.

Namun, tindakan sentuh, peluk, cium anak-anak kecil ini kadang-kala mengundang padah kerana terdapat risiko penyakit yang sukar dijangka datang menghinggap.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi Hospital Selayang, Dr Selva Kumar Sivapunniam, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kemasukan anak-anak kecil ke hospital semasa musim perayaan.

"Sering kali musim perayaan, kebanyakan anak-anak kecil akan hadir ke Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak pada hari raya kedua dan ketiga.

"Kebanyakan mereka hadir disebabkan jangkitan kuman atau virus seperti selesema, influenza dan jangkitan paru-paru (pneumonia).

"Faktor kedua pula melibatkan penyakit berkaitan dengan usus seperti cirit-birit dan muntah disebabkan keracunan makanan," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual,  baru-baru ini.

Selain itu, Dr. Selva Kumar yang juga Ketua Kepakaran Pediatrik Negeri Selangor itu berkata, faktor ketiga pula melibatkan kecederaan fizikal.

"Antara kemalangan yang sering menimpa golongan ini seperti jatuh pokok, lemas, dibiarkan dalam kereta sendirian, terkena mercun serta terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.

"Bila ada kumpulan yang ramai berkumpul, risiko untuk mendapat penyakit berjangkit melalui sentuhan, permukaan atau titisan udara," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Selva Kumar menasihati golongan dewasa untuk tidak menyentuh, mencium atau memeluk anak-anak kecil dengan sesuka hati.

Ini kerana, jelas beliau, anak-anak kecil mempunyai ketahanan diri yang rendah berbanding dewasa dan mudah mendapat penyakit melalui jangkitan.

"Orang dewasa sering ada kuman, virus dan sebagainya, tetapi kita tidak menunjukkan simptom. Anak-anak terutamanya yang mempunyai ketahanan diri rendah atau penyakit kronik senang mendapat jangkitan kuman," katanya.

Justeru itu, Dr. Selva Kumar menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk sentiasa berwaspada sepanjang musim perayaan.

Tambah beliau, golongan dewasa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak kecil diutamakan di sebalik keghairahan menyambut lebaran.

"Bayi yang kurang daripada setahun dan paling penting di bawah tiga bulan sering mendapat jangkitan kuman dan jika terkena mereka pasti tenat dan perlu masuk hospital.

"Jika kita sayangkan anak, cucu, saudara-mara maka elakkan dulu sentuh, cium, peluk. Biarlah dia besar sedikit dan kalau nak juga, amalkan kebersihan diri yang sebelum berjumpa anak-anak kecil," katanya.

Tambah Dr. Selva, orang dewasa perlu mengamalkan langkah kebersihan diri yang betul seperti kerap membasuh tangan, etika batuk yang betul dan jika perlu memakai pelitup muka untuk langkah keselamatan yang lebih baik.

Dr Selva juga menggesa ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak mendapatkan nutrisi yang baik dan  semua vaksinasi diberikan, jika boleh dapatkan vaksinasi untuk influenza bagi orang dewasa dan kanak-kanak lebih dari 6 bulan.

Tambahnya lagi, pada musim panas ini, pastikan kanak-kanak sentiasa mendapat hidrasi yang secukupnya.