Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan kadar elaun baru bagi Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang dinaikkan dari RM1,500 kepada RM2,000.

Langkah ini merupakan satu inisiatif kerajaan bagi mengurangkan jumlah graduan menganggur di negara ini.

“Mudah-mudahan generasi muda hari ini bersama-sama dengan kita untuk mencorak masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah di Dewan D, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini.

Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam penglibatan menjayakan SL1M selama ini.

Setakat ini, 70 peratus daripada graduan yang menyertai SL1M diserap masuk ke bidang pekerjaan.

"Lebih 140,000 peserta dapat peluang dalam SL1M setakat Disember 2017," katanya lagi.

Pelbagai aktiviti disediakan bukan sahaja untuk individu yang mencari kerja, tetapi untuk seisi keluarga.

Antaranya ialah penampilan istimewa selebriti seperti Hael Hussaini, Faizal Tahir, Bocey serta pameran Art of Speed.

Program Temu Duga Terbuka SL1M ini akan diteruskan sehingga Ahad.