KUALA LUMPUR: Tindakan secara holistik dan bersepadu termasuk penguatkuasaan di kawasan tadahan air perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah penyusutan bekalan air di Empangan Bukit Merah, Bagan Serai, Perak.

Aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata, kekurangan sumber itu di empangan tersebut kemungkinan akan lebih kerap berlaku pada masa akan datang susulan perubahan iklim.

Justeru tegasnya, jika tidak ditangani segera ia boleh menjejaskan pengairan sawah padi, dan kegunaan domestik harian penduduk di seluruh negara.

"Maknanya kita mesti lihat dari semua aspek. Jadi kalau dari segi jangka pendek, kita melihat kepada kaedah bagaimana untuk mengawal kawasan tadahan tersebut khususnya kawasan hutan yang merupakan kawasan simpanan air yang sangat-sangat penting.

"Secara jangka pendek kita mesti melihat kepada isu penguatkuasaan dan kawalan kawasan hutan supaya ia terus terjaga, dan kalau boleh jangan diusik langsung kawasan tersebut.

"Malah, kalau ada kawasan hutan yang boleh diwartakan, harus diwartakan. Tetapi saya bercakap penguakutasaan ini walaupun kesannya cepat, untuk mencapai satu tahap penguatkuasaan yang jitu dan mantap, ia mengambil masa yang lama.

"Kita pun dah tahu di Malaysia, tambah-tambah baru ini pula (kejadian banjir), pengalaman telah mengajar bahawa penguatkuasaan kita masih lemah dan ia berkait rapat dengan sikap kita.," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.

BACA: Paras air Empangan Bukit Merah menyusut, lebih 250,000 pengguna mungkin terjejas

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga perlu bertindak agresif untuk memastikan penjagaan hutan dan kawasan tadahan dapat dilaksanakan.

Selain itu, beliau menambah penggunaan teknologi rawatan air yang lebih mampan bagi merawat bekalan air yang diambil dari kawasan-kawasan sungai terdekat mampu membantu mengurangkan isu kekurangan air di empangan.

"Malah, kalau ada sungai-sungai lain yang tercemar sedikit, tetapi kita boleh gunakan teknologi itu untuk merawat air tersebut. Maka kita boleh gunakan air daripada sumber-sumber air yang lebih tersebut.

"Kita perlu meninjau dan meneliti teknologi lain, bagaimana untuk ambil air daripada situ (kawasan sungai) dan kita gunakan untuk tujuan, mungkin pada waktu kecemasan.

"Contohnya, di Selangor ada teknologi, kita ambil air daripada lombong-lombong yang tidak diguna pakai,  dan rawat air tersebut dan gunakan untuk bekalan air. Sumber air ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan masalah banjir di Selangor," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Amlir menyarankan agar masyarakat lebih berhemah dalam menggunakan bekalan air.