Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini kerana didakwa menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman di sebuah tapak perkhemahan pada 31 Januari lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Tertuduh, pengimpal bengkel, Norhanizam Ithnain, 38, peniaga Mohd Iskandar Masindra Rasidi, 37, pekerja kedai serbaneka Mohd Iskandar Afiq Abd Razak, 26, dan peniaga pakaian terpakai Ezzul Emran Abdul Rahim, 23.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat suspek dituduh menyerang Syed Saddiq dengan niat menjatuhkan kehormatannya di tapak perkhemahan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, kira-kira jam 9.30 malam pada 31 Januari lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut seksyen 355 Kanun Keseksaan.

BACA: Syed Saddiq terpaksa lari, guna jalan tikus, lompat pagar

Dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noorhadi, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Chan Choon Yew.

Manakala keempat suspek diwakili peguam, Izzat Muhtar.

Mahkamah menetapkan keempat tertuduh dijamin RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seri Alam setiap bulan.

Mohd Zaki menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.