MALAYSIA
Empat individu ditahan bantu siasatan kes bunuh warga asing di Sungai Lembing

Keadaan dalam rumah kongsi di mana mangsa maut ditikam rakan serumah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, Kuantan pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga asing di sebuah rumah kongsi pekerja lombong bijih timah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kesemua suspek yang ditahan dekat sini semalam terdiri daripada tiga warga asing berasal dari Bangladesh dan Myanmar serta seorang lelaki tempatan berusia 38 hingga 64 tahun.
Beliau berkata mangsa yang berusia 42 tahun merupakan penghuni rumah kongsi berkenaan bersama kesemua suspek dengan seorang daripadanya mengaku telah menikam lelaki itu kerana membuat kacau ganggu dalam keadaaan mabuk.
"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan sebilah pisau selain empat sampel darah diambil untuk tujuan analisis," katanya dalam kenyataan hari ini.Ashari berkata mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira 3 pagi semalam oleh seorang rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman di bahagian tubuh.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam," katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami