Skip to main content

Malaysia

Empat kilang masih mengeluarkan api dan operasi pemadaman masih dilakukan

BAHAN MUDAH TERBAKAR
Operasi pemadaman melibatkan empat balai antaranya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, BBP Kulim Hi-Tech, BBP Sungai Petani dan dibantu BBP Penanti, Pulau Pinang serat bantuan daripada 19 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Advertisement

KULIM: Bahan mudah terbakar dan berada dalam keadaan bertimbun mengakibatkan operasi memadam kebakaran membabitkan empat buah kilang di Jalan Makmur, Lunas semalam, masih diteruskan hari ini.

Walaupun telah melepasi tempoh 24 jam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 6.53 pagi membabitkan dua kilang pakaian, manakala dua lagi ialah kilang lilin dan kotak masih tersimpan bara api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, bomba menghadapi cabaran ketika mengawal kebakaran berikutan faktor angin yang kuat.

"Operasi pemadaman melibatkan empat balai antaranya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, BBP Kulim Hi-Tech, BBP Sungai Petani dan dibantu BBP Penanti, Pulau Pinang serat bantuan daripada 19 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Operasi masih berjalan sehingga kini dan kerja-kerja 'overhaul' dilakukan untuk memastikan sisa api dipadam sepenuhnya, ini kerana bahan yang terbakar itu terdiri dari tekstil atau pun kain serta kotak dan lilin,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Awang Hidzel memaklumkan, operasi turut dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Jelas Awang Hidzel, hasil siasatan awal mendapati, kebakaran itu dipercayai bermula dari kilang lilin sebelum merebak ke kilang berhampiran yang lain.

"Dua daripada kilang terbabit iaitu kilang lilin dan kotak dianggarkan musnah 90 peratus manakala dua kilang pakaian musnah lebih 60 peratus.

"Operasi masih berjalan menggunakan bantuan jentera berat untuk proses pemadaman dan setakat ini, anggaran kerugian tidak dapat dipastikan lagi, " katanya.

Pada Selasa Astro AWANI melaporkan, lebih daripada tiga buah kilang di Jalan Makmur, Lunas, di sini, musnah terbakar.
 

Must Watch Video

Advertisement