Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan empat kluster COVID-19 di negeri itu telah tamat.

Empat kluster tersebut adalah Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Pasar Satok.

Menerusi kenyataan dikeluarkan JPBN Sarawak pada Selasa, kluster-kluster ini diisytiharkan tamat selepas tidak merekodkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu dalam tempoh 28 hari.

Bagi kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, ia mula dikesan pada 18 Julai 2020 menerusi kes indeks iaitu kes ke-575.

“Secara keseluruhannya, 495 orang telah disaring terdiri daripada rakan sekerja dan juga kontak rapat kepada kes-kes yang telah dikenal pasti.

“Hasil saringan berjaya mengesan keseluruhan lapan kes COVID-19 atau 1.62 peratus dan kes terakhir dikesan 28 Julai 2020. Kes terakhir yang telah pulih dan discaj dari wad hospital adalah pada 8 Ogos 2020,” ujar kenyataan itu.

Bagi kluster Sentosa yang mula dikesan pada 21 Julai 2020, 31 kes positif dilaporkan menerusi 518 orang yang disaring terdiri daripada petugas kesihatan, pekerja am dan kontak rapat kepada kes yang dikenal pasti.

Kes terakhir kluster ini dikesan pada 28 Julai 2020 dan kes terakhir yang telah pulih dan discaj dari wad hospital adalah pada 9 Ogos 2020.

Seterusnya bagi kluster PUI Melbourne, kluster ini mula dikesan pada 22 Julai 2020 dan melibatkan tiga kes positif yang disahkan oleh makmal.

“Bagi kluster ini, 114 orang disaring terdiri daripada kontak di dalam pesawat dan kontak rapat kepada kes-kes yang telah dikenalpasti.

“Hasil saringan berjaya mengesan keseluruhan tiga kes COVID-19 dan kes terakhir dikesan pada 28 Julai 2020 manakala kes terakhir yang telah pulih dan discaj dari wad hospital adalah pada 7 Ogos 2020,” tambah kenyataan sama.

Manakala bagi Kluster Pasar Satok, kluster ini mula dikesan pada 28 Julai 2020 selepas Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjalankan saringan aktif di Pasar Satok berikutan laporan kes COVID-19 di sana.


Secara keseluruhannya, 936 peniaga dan kontak rapat dikenal pasti dan hasil saringan berjaya mengesan keseluruhan empat kes COVID-19.

Setakat ini, terdapat dua kluster COVID-19 yang kekal aktif iaitu Kluster Mambong dan Kluster Alam melibatkan 14 kes.