Skip to main content

Malaysia

Empat lelaki diburu selepas larikan barang kemas

Polis mengesan empat lelaki bertopeng dipercayai bersenjatakan tukul dan senjata tajam yang menyamun sebuah kedai emas dalam sebuah pusat beli-belah, di sini malam tadi.
Anggaran kerugian yang dimaklumkan pemilik kedai adalah antara RM700,000 hingga RM1 juta, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan. - Foto PDRM
Advertisement

SUNGAI PETANI: Polis sedang mengesan empat lelaki bertopeng yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, dua suspek memasuki premis berkenaan sebelum memecahkan tiga cermin pameran menggunakan tukul dan melarikan pelbagai barang kemas.

Menurutnya, dua lagi suspek dipercayai menunggu di luar premis sebelum kesemua mereka melarikan diri menaiki dua motosikal.

"Suspek yang masuk ke dalam kedai memecahkan cermin pameran dan mengambil barang kemas sebelum melarikan diri. Dua lagi rakan mereka menunggu kira-kira 20 meter dari premis tersebut.

"Anggaran kerugian yang dimaklumkan pemilik kedai adalah antara RM700,000 hingga RM1 juta, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan.

"Kita masih menunggu senarai lengkap barang kemas yang hilang bagi menentukan nilai kerugian sebenar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat dua pekerja di dalam premis berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, beberapa orang awam turut cuba membantu selepas kejadian dan berjaya menemui sejumlah barang kemas yang dipercayai tercicir atau ditinggalkan suspek semasa melarikan diri sebelum menyerahkannya kepada polis.

Hanyan berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri ketika cuba menahan penjenayah, terutama jika suspek dipercayai bersenjata.

"Kita tidak tahu sama ada suspek mempunyai senjata yang lebih berbahaya. Oleh itu, keselamatan orang awam perlu diutamakan.

"Pada masa sama, polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada saksi, termasuk berkaitan ciri fizikal, bentuk badan, percakapan atau sebarang perlakuan mencurigakan yang dilihat sebelum kejadian," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa premis yang sama pernah menjadi sasaran samun pada 2024 dengan kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

 

 

Must Watch Video

Advertisement